
MANILA, 16 November – Rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) memasuki fasa akhir apabila kira-kira 80 peratus draf perjanjian itu mencapai persetujuan sementara antara ASEAN dan China.
- Rundingan diteruskan pada 2027 di bawah kepengerusian ASEAN oleh Singapura.
- Perdana Menteri Anwar menyeru iltizam politik kukuh untuk menyelesaikan isu tertangguh dan mencapai COC substantif.
- Malaysia sebagai pengerusi bersama rundingan komited mengekalkan momentum positif bagi memastikan kemajuan proses.
- Pematuhan COC dilihat penting bagi memperkukuh keamanan serantau serta menjamin kebebasan pelayaran dan penerbangan.
Bagaimanapun, beberapa perkara penting masih belum dimuktamadkan, sekali gus menyaksikan rundingan berkenaan diteruskan pada 2027 di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, iltizam politik yang kukuh daripada semua pihak amat diperlukan bagi menyelesaikan isu yang masih tertangguh dan mencapai COC yang berkesan serta substantif.
“Malaysia selaku pengerusi bersama rundingan dengan China kekal komited mengekalkan momentum positif yang dicapai bagi memastikan proses berkenaan terus menunjukkan kemajuan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29, di sini.
Jelas Perdana Menteri lagi, usaha memuktamadkan COC penting dalam memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau, khususnya ketika pertikaian tuntutan wilayah di Laut China Selatan masih berlarutan.
Malaysia, katanya, menekankan kepentingan menjamin kebebasan pelayaran dan penerbangan lintas di perairan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memelihara keselamatan maritim serantau.
Rundingan COC yang berlarutan lebih dua dekad itu sebelum ini disasarkan selesai menjelang akhir 2026, namun masih memerlukan persetujuan mengenai beberapa isu utama, termasuk status perjanjian sama ada mengikat dari segi undang-undang.