
ZHAOQING, 16 November – Harimau Malaya bertekad bangkit daripada kekalahan kepada China dengan memburu keputusan positif menentang Yaman, esok, bagi menutup kalendar perlawanan antarabangsa Tier 1 tahun ini.
- Tan Cheng Hoe kata pemain kembali fokus, sudah jalani latihan dan pemulihan walaupun tempoh latihan singkat.
- Fergus Tierney digantung, calon pengganti termasuk Romel Morales, Paulo Josue dan Muhammad Syafiq Ahmad.
- Status Dominic Tan tidak pasti akibat kecederaan otot, keputusan bergantung pada penilaian lanjut pasukan perubatan.
- Siri persahabatan di China digunakan untuk menilai pemain dan beri pendedahan antarabangsa, ranking lebih baik dijadikan motivasi.
Ketua jurulatih interim Hari Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pertemuan itu menjadi peluang penting buat skuad negara memperbaiki persembahan selepas tewas 0-2 kepada China, Sabtu lalu.
“Selepas kekalahan kepada China, moral pemain sedikit terjejas, namun dari segi latihan dan pemulihan, kita sudah melakukan persiapan dengan baik walaupun tempoh latihan agak singkat.
“Saya lihat pemain sudah kembali fokus dan bersedia untuk perlawanan esok. Saya percaya pemain juga mahu menebus kekalahan kepada China dan ini peluang terbaik untuk membina semula keyakinan pasukan,” katanya.
Bagaimanapun, Cheng Hoe perlu melakukan penyesuaian dalam kesebelasan utama susulan ketiadaan penyerang Fergus Tierney yang digantung selepas menerima dua kad kuning ketika menentang China.
Antara pilihan untuk mengisi kekosongan itu ialah Romel Morales, Paulo Josue dan Muhammad Syafiq Ahmad.
Status pertahanan Dominic Tan pula masih belum dipastikan akibat kecederaan otot, dengan keputusan mengenai penyertaannya bergantung kepada penilaian lanjut pasukan perubatan.
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut menekankan kepentingan siri persahabatan di China sebagai medan menilai kemampuan pemain serta memberikan pendedahan di peringkat antarabangsa.
“Harapan kita hadir ke Zhaoqing untuk menentang China dan Yaman adalah sebagai persiapan serta medan pendedahan kepada pemain lain untuk mendapatkan pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas perbezaan ranking FIFA, Cheng Hoe menyifatkan kedudukan Malaysia yang lebih baik berbanding Yaman sebagai motivasi, bukannya tekanan kepada pasukan untuk mencatat keputusan positif.
Malaysia kini berada di ranking ke-135 dunia, manakala Yaman di kedudukan ke-147.
Kedua-dua pasukan dijadual berentap di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China, esok.