
DARFUR, 16 November – Penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Kem Sabrein, negeri Darfur Timur, Sudan merayu bantuan bekalan air bersih selepas bekalan berkenaan terputus lebih sebulan lalu.
- Kira-kira 26,000 penduduk kem menghadapi kesukaran mendapatkan air untuk keperluan harian.
- Rakaman menunjukkan wanita dan kanak-kanak beratur dengan bekas kosong; sesetengah mengangkut tong menggunakan kereta keldai.
- Penduduk terpaksa berjalan jauh dan kadangkala gagal peroleh air; perjalanan ke tangki ambil kira-kira sejam.
- Konflik sejak April 2023 memburukkan krisis; PBB: kira-kira 12 juta kehilangan tempat tinggal, 25.6 juta hadapi kekurangan makanan serius.
Keadaan itu menyebabkan kira-kira 26,000 penduduk kem berkenaan menghadapi kesukaran mendapatkan air untuk keperluan harian.
Rakaman pada Ahad menunjukkan wanita dan kanak-kanak beratur dengan bekas kosong untuk mendapatkan air, manakala sebahagian penduduk mengangkut tong menggunakan kereta keldai.
Seorang penduduk, Zeinab Abu Abdelrahim Al-Zein Braima berkata, mereka terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan bekalan air dan ada kalanya gagal memperolehnya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Bakr Hammad berkata, kekurangan air turut menjejaskan urusan harian sehingga menyukarkan mereka menyediakan makanan dan membersihkan diri.
Sementara itu, Hanan Hussein Musa Mohammed berkata, perjalanan ke tangki air mengambil masa kira-kira sejam, namun mereka hanya mampu membawa pulang satu bekas untuk kegunaan keluarga.
Krisis kemanusiaan di Sudan semakin buruk sejak pertempuran antara tentera negara itu dengan Pasukan RSF tercetus pada April 2023.
Pertempuran itu menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal serta menjejaskan akses kepada makanan, rawatan kesihatan dan air bersih.
Menurut data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 12 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, manakala lebih 25.6 juta rakyat Sudan berdepan kekurangan makanan yang serius.
Konflik itu turut mengorbankan dan mencederakan puluhan ribu orang. – VIORY.