
KUALA LUMPUR, 15 November – Kerjasama berpasukan dan semangat tidak berputus asa menjadi kunci kejayaan kumpulan Arus untuk muncul juara Jaguh Rakan Muda musim kedua malam ini, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM100,000.
- Peringkat akhir menampilkan finalis Nadi dan Suria; ujian menguji ketahanan fizikal, mental, strategi serta kerja berpasukan.
- Menteri Belia dan Sukan mahu program diberi kelainan dari segi pengisian dan matlamat jika diteruskan.
- Jaguh Rakan Muda inisiatif KBS dan JBSN menyediakan platform untuk mencungkil bakat belia berasaskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
Kumpulan itu menewaskan dua lagi finalis, iaitu kumpulan Nadi dan kumpulan Suria dalam pertandingan akhir yang menguji bukan sahaja ketahanan fizikal dan mental, malah kebijaksanaan menyusun strategi serta keupayaan peserta bekerjasama sebagai satu pasukan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata sekiranya program itu diteruskan pada masa akan datang, beliau mahu kelainan dari segi elemen pengisian program dilakukan.
“Sudah pasti kita ingin kelainan dari tahun ke tahun, tidak hanya dari segi penyertaan tetapi juga pengisian program dan matlamat utama yang ingin kita capai menerusi program ini,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung Episod Kemuncak Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim Kedua di Hextar World Empire City, malam ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir, sekali gus berharap program sebegitu menjadi inspirasi kepada anak muda agar terus cekal dan menjadi belia yang hebat.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Rahimi Ismail, dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) Azura Abidin.
Kumpulan Nadi dan Suria masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM25,000 dan RM10,000 berserta pingat.
Jaguh Rakan Muda musim kedua ialah inisiatif KBS menerusi JBSN yang menyediakan platform kepada belia untuk mengetengahkan potensi, bakat dan keupayaan diri menerusi pelbagai cabaran yang berteraskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda.
Penganjuran program realiti itu adalah antara usaha KBS dalam memperkukuh Rakan Muda sebagai platform penglibatan dan pembangunan belia yang selaras dengan minat, bakat dan gaya hidup generasi muda.
Program realiti musim kedua itu menyaksikan 1,042 peserta berjaya melepasi sesi uji bakat dan program itu mula ditayangkan pada 10 Okt lepas menerusi saluran Okey bersempena dengan Hari Sukan Negara.- BERNAMA