Harimau Malaya perlu kekalkan disiplin tinggi hadapi Yaman

Foto FB Malaysia NT

KUALA LUMPUR, 15 November – Skuad Harimau Malaya dituntut agar segera membentuk mentaliti pemenang dan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi sekiranya berhasrat menumpaskan Yaman dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa pada Selasa ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalkan ketenangan, patuhi perancangan taktikal dan jangan biar provokasi, penyokong atau keputusan pengadil mengganggu fokus pasukan.
  • Elakkan eksperimen posisi secara berlebihan; persiapan terhad dan ketiadaan tonggak menjejaskan keserasian serta rentak permainan.
  • Bentuk mentaliti pemenang, kekalkan disiplin diri dan contohi ketenangan bertaraf antarabangsa untuk laksanakan perancangan jurulatih.

Pemerhati bola sepak negara, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpendapat, barisan pemain perlu kekal tenang mengikut perancangan taktikal jurulatih dan tidak membiarkan faktor luaran seperti provokasi lawan, gangguan penyokong mahupun keputusan pengadil menjejaskan fokus mereka di atas padang.

Mengulas kekalahan 0-2 kepada China malam tadi, beliau yang juga Pensyarah Jabatan Sains Kejurulatihan, Fakulti Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpandangan keputusan tersebut sudah dijangka berikutan kekangan persiapan serta ketiadaan beberapa tonggak utama negara.

Menurut beliau, situasi itu memaksa skuad kebangsaan melakukan percubaan dengan menurunkan pemain baharu serta meletakkan pemain di posisi berbeza sehingga menjejaskan keserasian pada awal permainan.

“Jadi, kita terpaksa menjalankan eksperimen dengan mencuba pemain-pemain baharu serta meletakkan pemain di posisi tertentu. Keadaan ini menyebabkan mereka gagal mendapat rentak pada minit-minit awal separuh masa pertama sehingga ketinggalan 0-2.

“Apabila sudah ketinggalan dua gol, pemain mula berdepan tekanan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada RTM.

Oleh itu, beliau menyarankan pemain negara supaya menampilkan karakter bertaraf antarabangsa dengan mencontohi ketenangan pasukan gergasi seperti Sepanyol dalam mengawal bola dan situasi perlawanan biarpun diasak hebat.

“Untuk berdepan Yaman nanti, kita masih sempat mengubah mentaliti, membentuk karakter yang betul dan mengekalkan disiplin diri.

“Insya-Allah, jika semua itu dapat dilaksanakan, kita mampu merealisasikan perancangan jurulatih untuk menewaskan Yaman pada Selasa ini,” katanya.

Dalam aksi persahabatan malam tadi di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, skuad Naga yang menghuni ranking ke-96 dunia mudah menundukkan Malaysia 2-0, sekali gus menyaksikan badi 46 tahun Harimau Malaya tanpa kemenangan ke atas China sejak kali terakhir menang pada 1980 terus berpanjangan.

Harimau Malaya yang kini berada di ranking ke-133 dunia dijadualkan turun menentang Yaman yang menduduki tangga ke-144 dunia di gelanggang yang sama, Selasa ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.