
KIEV, 15 November – Jalan raya dan bangunan kediaman di beberapa kawasan di Kiev bergelap pada malam Sabtu susulan pelaksanaan catuan bekalan elektrik berjadual yang berterusan di seluruh Ukraine selepas beberapa siri serangan Rusia menyasarkan infrastruktur tenaga negara itu.
- Ukrenergo laksana pemotongan elektrik bergilir di beberapa wilayah, menjejaskan kediaman dan premis perniagaan sepanjang hari.
- Jurutera bekerja tanpa henti membaiki peralatan rosak dan memulihkan bekalan, dengan arahan ikuti jadual gangguan tempatan.
- Syarikat DTEK laksanakan pemotongan berjadual mengikut arahan Ukrenergo; beberapa kumpulan pengguna alami gangguan berasingan.
- Kementerian Pertahanan Rusia sahkan serangan terhadap kemudahan tenaga dan pengangkutan, sambil DTEK lapor 10 fasiliti tenaga rosak di wilayah Kiev.
Pengendali tenaga kebangsaan Ukraine, Ukrenergo mengumumkan pelaksanaan pemotongan bekalan elektrik secara bergilir di beberapa wilayah pada Sabtu, dengan sekatan bekalan membabitkan kediaman dan premis perniagaan sepanjang hari.
Ukrenergo memaklumkan jurutera bekerja sepanjang masa untuk membaiki peralatan yang rosak dan memulihkan bekalan elektrik, selain menggesa penduduk mengikuti jadual gangguan bekalan terkini yang diterbitkan oleh pengendali pengagihan elektrik tempatan.
Di ibu negara, syarikat tenaga DTEK melaksanakan pemotongan bekalan elektrik berjadual mengikut arahan Ukrenergo, dengan beberapa kumpulan pengguna berdepan beberapa tempoh gangguan bekalan elektrik secara berasingan.
Menurut DTEK, serangan Rusia merosakkan 10 kemudahan tenaga miliknya di wilayah Kiev sepanjang minggu sebelumnya, sekali gus memaksa pasukan pembaikan bekerja keras untuk memulihkan bekalan elektrik ketika sekatan tambahan masih dilaksanakan.
Kementerian Pertahanan Rusia pada Sabtu mengesahkan tenteranya melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga dan pengangkutan di Ukraine, dengan mendakwa kemudahan yang menjadi sasaran digunakan bagi menyokong operasi ketenteraan Ukraine. -VIORY