
PAPAR, 15 November – Pembangunan harta intelek menjadi teras utama dalam usaha melonjakkan kedudukan Malaysia ke kelompok 20 negara teratas dalam Global Innovation Index (GII) menjelang tahun 2030.
- RMK-13 menerusi Strategi A5.2 memperkukuh ekosistem R&D&C&I bagi meningkatkan penciptaan nilai harta intelek.
- Kerajaan menyasar kelompok 20 teratas GII dan 2,000 permohonan paten warganegara menjelang 2030.
- Program IP Spark 2026 dan MyIPO NextGen melatih pelajar menghasilkan prototaip, melindungi dan mengkomersialkan idea inovatif.
- MyIPO 2027 fokus pada IP Valuation Financing Fund, Program GI MADANI untuk petunjuk geografi, serta kajian DHIN 2.0 dan ekspresi budaya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) menerusi Strategi A5.2 iaitu Meningkatkan Penciptaan Nilai Harta Intelek, kerajaan komited memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).
“Selain sasaran kelompok 20 teratas GII berbanding kedudukan ke-34 pada tahun 2025, kerajaan turut menyasarkan peningkatan permohonan paten oleh warganegara Malaysia kepada 2,000 permohonan menjelang 2030,” menurutnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena penganjuran Program IP Spark 2026 bertemakan “Ideas, Create, Impact” oleh KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di sini, hari ini.
Program dua hari yang berlangsung sejak semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni dan SMK Pengalat itu menghimpunkan seramai 120 peserta terdiri daripada pelajar sekolah serta pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Datuk Armizan berkata, inisiatif di bawah aspirasi MyIPO NextGen itu memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai kemahiran membina idea inovatif, menghasilkan prototaip serta melindungi nilai komersial hasil kreativiti mereka.
“Kesemua hasil inovasi dan prototaip peserta dinilai secara profesional berdasarkan keunikan idea, penyelesaian konkrit terhadap isu semasa serta potensi untuk diketengahkan ke pasaran komersial,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bagi tempoh 2021 hingga Oktober 2026, sektor pendidikan tempatan merangkumi sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi merekodkan sebanyak 11,625 permohonan dan pendaftaran harta intelek melibatkan paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian serta pemberitahuan sukarela hak cipta.
Mengulas perancangan tahun 2027, beliau berkata MyIPO akan memberi tumpuan kepada tiga inisiatif utama, bermula dengan pengkomersialan dan akses pembiayaan menerusi IP Valuation Financing Fund bagi membantu syarikat pemula serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan khidmat penilaian harta intelek profesional.
“Selain itu, MyIPO akan memperkukuh ekonomi komuniti melalui Program GI MADANI dengan menyasarkan lima permohonan petunjuk geografi tempatan dan dua permohonan antarabangsa pada 2027, antaranya melibatkan Avocado Sabah, Nanas Bario dan Durian Raja Kunyit Tanah Merah.
“Agensi itu juga akan memperkukuh kerangka dasar negara menerusi kajian penambahbaikan Dasar Harta Intelek Negara (DHIN 2.0) serta kajian perlindungan ekspresi budaya tradisional bagi memastikan ekosistem harta intelek kekal relevan dan progresif,” menurut Datuk Armizan.