Siasatan PAC terhadap Pan Borneo perlu rangkumi penamatan model PDP 2019 – Armizan

Projek Lebuhraya Pan Borneo/Foto Fail

PAPAR, 15 November – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disarankan agar memperluas skop siasatan terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 bagi merangkumi asas serta implikasi penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 22 September 2019.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan perlu teluskan sebab dan implikasi penamatan model PDP bagi mengenal pasti punca kelewatan dan penjelasan pihak terlibat.
  • Keputusan menyiasat susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara diterima baik untuk semak pengurusan, tadbir urus, kewangan dan pelaksanaan fizikal.
  • Kekaburan dalam laporan audit mencetuskan polemik; jawapan rasmi KKR di Parlimen mengaitkan penamatan PDP sebagai faktor utama kelewatan.
  • GRS akan serah memorandum kepada PAC supaya siasatan juga menilai dasar terdahulu, elakkan perubahan berlandaskan politik menjejaskan infrastruktur.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan projek serta memastikan setiap pihak yang terlibat dalam keputusan dan pelaksanaannya memberi penjelasan sewajarnya.

Menurut beliau dalam satu kenyataan, keputusan PAC yang diumumkan pada 19 Oktober lalu untuk menyiasat pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal projek itu susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 amat dialu-alukan.

“Terdapat empat faktor utama yang mewajarkan penamatan mekanisme PDP susulan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada ketika itu disiasat secara menyeluruh,” jelasnya.

“Ketidakjelasan mengenai implikasi penamatan PDP dalam LKAN Siri 2/2026 telah mencetuskan polemik berpanjangan, sedangkan jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2022 dan 19 Oktober lalu menyebut penamatan PDP sebagai antara faktor utama kelewatan Projek Pan Borneo Fasa 1B,” menurutnya sambil merujuk kepada penjelasan yang disampaikan oleh bekas Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di Parlimen.

Selain itu, Datuk Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata siasatan perlu memperjelas asas dan punca penamatan PDP pada tahun 2019 oleh kerajaan persekutuan yang dibuat atas syor pentadbiran kerajaan negeri Sabah pada masa tersebut.

Tambah beliau, pelaksanaan projek sedia ada dalam Fasa 1B turut terbantut lebih setahun bermula Mei 2018 sehingga pelantikan semula kontraktor melalui kaedah konvensional pada 2019 akibat ketidaktentuan status PDP, yang seterusnya menjejaskan kerja di lapangan serta meningkatkan kos projek berbanding kos asal.

“Peralihan daripada model PDP kepada kaedah konvensional itu turut mengganggu proses pelantikan semula kontraktor sedia ada dan pelantikan kontraktor baharu bagi pakej Fasa 1B hingga menjangkau tahun 2021,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan satu memorandum kepada PAC bagi memastikan skop siasatan turut meliputi punca serta implikasi penamatan model berkenaan.

“PAC perlu meneliti bukan sahaja prestasi semasa projek, malah keputusan dasar terdahulu agar sebarang perubahan dasar tidak dibuat atas pertimbangan politik kepartian sehingga menjejaskan keutamaan memperkukuh infrastruktur jalan raya demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri,” jelas kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.