Jadual padat menanti PM pada sidang kemuncak ASEAN di Manila

Perdana Menteri dan isteri tiba di Manila, Filipina bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan/Foto Facebook Perdana Menteri

MANILA, 15 November – Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Ahad, dengan krisis Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan dijangka menjadi antara agenda utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar akan menghadiri majlis perasmian di PICC yang dipengerusikan Presiden Marcos, diikuti sidang pleno dan sesi permukiman pemimpin.
  • Beliau akan menyertai mesyuarat berasingan bersama AIPA, ASEAN-BAC dan delegasi Belia ASEAN.
  • Pemimpin dijangka mengkaji semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN mengenai Myanmar dan mempertimbangkan langkah seterusnya.
  • Perbincangan keselamatan maritim merangkumi cadangan Pusat Maritim ASEAN dan perkembangan rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan.

Anwar, yang tiba pada malam Sabtu, akan menghadiri majlis perasmian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC) yang akan dipengerusikan oleh Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. selaku Pengerusi ASEAN. Majlis itu akan disusuli dengan sidang pleno dan sesi permukiman pemimpin.

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Hari ini, beliau akan menyertai pemimpin ASEAN lain dalam beberapa mesyuarat berasingan bersama-sama wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Belia ASEAN.

Anwar dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Presiden Asian Development Bank (ADB) Masato Kanda pada sebelah petang.

Menurut Kementerian Luar, sidang kemuncak itu akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan tentang pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan blok itu, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh daya tahan serantau, keselamatan tenaga dan rantaian bekalan dalam suasana global yang terus berubah.

Pemimpin dijangka mengkaji semula pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN tentang Myanmar dan membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil oleh blok berkenaan. Perbincangan mengenai keselamatan maritim dijangka merangkumi cadangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN dan perkembangan rundingan berhubung Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

Kementerian memaklumkan pemimpin juga dijangka membincangkan isu pencemaran jerebu rentas sempadan dan krisis yang berterusan di Asia Barat.

Pada Isnin, Anwar dijadualkan menghadiri sidang kemuncak dengan China, Australia, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perhimpunan selama tiga hari bertemakan “Navigating Our Future, Together” itu, akan melabuhkan tirainya pada Selasa dengan beberapa lagi mesyuarat termasuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat serta penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN daripada Filipina kepada Singapura. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.