
KUALA LUMPUR, 11 November – Lebih 15,000 peserta dari 19 negara termasuk Malaysia dijangka menyertai Lenggong International Dialogue 2026 (LiD’26) yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 29 November ini di Lenggong Geopark, Perak.
- Penganjuran dijangka merancakkan pelancongan dan ekonomi setempat, manfaat kepada perhotelan, makanan, pengangkutan, PKS serta perniagaan berasaskan pelancongan.
- LiD’26 menampilkan 58 acara berteraskan lima komponen: Lenggong Valley Cultural Festival, Traditional Food Festival, Geo Live, Geo Adventure, Geo Intelektual.
- Acara memberi penekanan kepada dokumen resolusi bagi perhatian kerajaan, menumpu pemeliharaan warisan dan pembangunan ekonomi lestari.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penganjurannya bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan pelancongan serta merancakkan ekonomi negara.
“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu termasuk disertai Rusia, China, Iran, United Kingdom, Arab Saudi, Taiwan serta negara ASEAN, bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
“Limpahan kehadiran pengunjung berpotensi merancakkan pelbagai sektor termasuk perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan berasaskan pelancongan,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Penganjuran edisi kali ini menampilkan 58 acara yang berteraskan lima komponen utama, iaitu Lenggong Valley Cultural Festival, Lenggong Traditional Food Festival, Lenggong Geo Live, Lenggong Geo Adventure dan Lenggong Geo Intelektual.
Beliau menambah, LiD’26 yang akan dianjurkan secara dwitahunan itu turut memberi penekanan kepada usaha menghasilkan dokumen resolusi menerusi perbincangan dan perkongsian pandangan pelbagai pihak untuk diangkat bagi perhatian kerajaan.
“Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah usaha memelihara warisan negara dan khazanah alam semula jadi, di samping meneroka pendekatan pembangunan ekonomi yang tidak menjejaskan kelestarian sumber alam.
“Apa yang mahu dicapai menerusi Lenggong International Dialogue ini ialah menghasilkan satu dokumen resolusi yang akan diangkat untuk perhatian kerajaan, khususnya berkaitan usaha memelihara warisan negara supaya tidak dimusnahkan.
“Kita mahu khazanah alam seperti hutan dipelihara tetapi pada masa sama mampu menjana ekonomi tanpa perlu memusnahkannya,” jelasnya.
Turut mengisi LiD’26 ialah Pesta Budaya dan Malam Tribuana Bangsawan ASEAN yang bakal menampilkan persembahan silang budaya Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Di samping terdapat pameran, jualan serta penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, usahawan serta pihak swasta.