Orang awam dinasihat kekal tenang sepanjang Ex Eagle Stealth 2026

Kenyataan MKN

KUALA LUMPUR, 11 November – Orang awam dinasihatkan kekal bertenang sepanjang Latih Amal Keselamatan Exercise Eagle Stealth (Ex Eagle Stealth) 2026 yang akan berlangsung esok (Khamis) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan dijalankan bersama Malaysia Airports, bermula 9.00 pagi hingga 11.30 malam.
  • Tujuan: menguji kesiapsiagaan, kecekapan koordinasi antara agensi dan keberkesanan mekanisme tindak balas.
  • Orang awam mungkin menyaksikan pergerakan pasukan keselamatan, pengerahan aset operasi dan aktiviti simulasi.
  • MKN menjamin operasi penerbangan berjalan seperti biasa; nasihat kekal tenang kerana simulasi bukan ancaman sebenar.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan Ex Eagle Stealth 2026 diadakan dengan kerjasama strategik syarikat pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports bermula 9.00 pagi hingga 11.30 malam.

“Pelaksanaan latihan tersebut bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan, kecekapan koordinasi antara agensi, serta menilai keberkesanan mekanisme tindak balas negara dalam menangani sebarang ancaman keselamatan yang menyasarkan sektor penerbangan awam.

“Sepanjang tempoh berkenaan, orang awam mungkin menyaksikan pergerakan pasukan keselamatan, pengerahan aset operasi serta aktiviti simulasi di sekitar kawasan lapangan terbang,” menurut MKN menerusi kenyataan.

Selain itu, MKN turut memberi jaminan bahawa operasi penerbangan di KLIA akan berjalan seperti biasa termasuk semua aktiviti dan urusan penumpang.

Sehubungan itu, MKN menasihatkan orang awam supaya kekal bertenang dan tidak panik sepanjang Ex Eagle Stealth 2026 berlangsung kerana aktiviti melibatkan simulasi keselamatan dan bukan ancaman sebenar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.