
JAKARTA, 11 November – Kebakaran hutan di Indonesia, yang sebahagiannya didorong fenomena El Nino dan keadaan cuaca kering, telah memusnahkan kira-kira 2.88 juta hektar kawasan setakat akhir Oktober tahun ini.
- Nusantara Atlas melaporkan keluasan terbakar meningkat hampir sejuta hektar berbanding kemas kini September.
- Kerajaan Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi berhubung keluasan kawasan terjejas.
- Anggaran Nusantara Atlas konservatif kerana asap tebal menghalang imej satelit mengesan sepenuhnya kawasan terbakar.
- Kebakaran dikaitkan dengan penyahhutanan dan pengeringan tanah gambut, menyebabkan pencemaran udara serius menjejaskan kesihatan dan negara jiran.
Menurut Badan Pemantau Nusantara Atlas yang menganalisis imej satelit, keluasan kawasan terbakar itu meningkat hampir sejuta hektar berbanding kemas kini terakhir pada September lepas.
Setakat ini, kerajaan Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi berhubung keluasan kawasan yang terjejas.
Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau berkata, angka terbaharu itu merupakan anggaran konservatif berikutan asap tebal menghalang imej satelit daripada mengesan keseluruhan kawasan yang terbakar.
Bagaimanapun, keluasan berkenaan sudah melebihi jumlah keseluruhan kawasan terbakar tahun 2019 yang turut menyaksikan kebakaran hutan serius berdasarkan rekod Nusantara Atlas.
“Secara asasnya, ini merupakan tahun yang sangat buruk,” kata Gaveau.
Dalam pada itu, musim hujan yang mula melanda beberapa kawasan di negara itu membantu mengawal kebakaran paling serius, manakala pemantauan menunjukkan jumlah titik panas (hotspot) mula mendatar sebelum mencatatkan trend penurunan.
Keluasan keseluruhan kawasan terbakar dijangka terus meningkat memandangkan masih terdapat kebakaran yang belum dipadamkan.
Pada masa sama, kawasan yang sebelum ini terlindung asap mungkin dapat dikenal pasti menerusi imej satelit dalam beberapa bulan akan datang.
Selain faktor cuaca, pakar turut mengaitkan kebakaran itu dengan aktiviti penyahhutanan selama beberapa dekad serta pengeringan kawasan tanah gambut untuk pembangunan ladang, yang menyebabkan kawasan berkenaan lebih mudah terbakar.
Kebakaran itu turut mengakibatkan pencemaran udara serius sehingga menjejaskan kesihatan ratusan ribu penduduk, selain menyebabkan jerebu merebak ke negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.-AFP