
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar
KUALA LUMPUR, 11 November – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mempergiat operasi kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir.
- NADMA menyediakan kira-kira 40,000 aset untuk menyokong operasi menyelamat dan pengurusan banjir di seluruh negara.
- Aset merangkumi lebih 2,400 bot serta 3,000 kenderaan pacuan empat roda dan lori.
- Sebanyak 8,342 pusat pemindahan sementara disediakan, mampu menempatkan sehingga 1.9 juta mangsa banjir serentak.
- Orang ramai digalakkan muat turun aplikasi MyDIM percuma untuk amaran awal, lokasi PPS dan panduan navigasi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar berkata, kira-kira 40,000 aset telah disediakan bagi menyokong operasi menyelamat dan pengurusan banjir di seluruh negara.
Aset berkenaan merangkumi lebih 2,400 bot serta 3,000 kenderaan pacuan empat roda dan lori.
“Selain itu, sebanyak 8,342 pusat pemindahan sementara (PPS) turut disediakan dengan kapasiti menempatkan sehingga 1.9 juta mangsa banjir pada satu-satu masa.
“NADMA juga menyediakan 170,000 kit makanan sedia dimakan bagi memenuhi keperluan awal mangsa sebaik tiba di PPS sebelum bekalan makanan yang dimasak disediakan,” katanya ketika ditemui selepas temubual rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Gapar menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia (MyDIM).
“Bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat dan terkini, saya menggalakkan semua pihak memuat turun aplikasi Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia atau MyDIM yang dilancarkan pada April lalu.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma dan menyediakan pelbagai maklumat berkaitan banjir, termasuk amaran awal, lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) serta panduan navigasi untuk ke lokasi berkenaan,” tambahnya.