PROTON perkenal teknologi hibrid pintar i-HEV

Sistem hibrid pintar terbaharu, i-HEV

KUALA LUMPUR, 11 November – PROTON memperkenalkan sistem hibrid pintar terbaharu, i-HEV, yang bakal digunakan pada model akan datang dengan kod nama AMA 02.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem i-HEV gabungkan enjin petrol hibrid khusus, dua motor elektrik dan pengurusan tenaga pintar untuk penggunaan bahan api lebih rendah dan pemanduan lancar responsif
  • Membolehkan pemanduan menggunakan kuasa elektrik secara senyap dan diisi petrol seperti biasa tanpa pengecasan luaran
  • Sistem urus tenaga secara pintar dalam kesesakan bandar dan perjalanan jauh untuk keseimbangan antara petrol dan elektrik
  • Pembangunan tempatan di Tanjong Malim termasuk penghasilan enjin DHE, pemasangan DHT dan EDU kukuhkan ekosistem pembekal serta kepakaran industri

Menurut kenyataan PROTON, pengenalan teknologi itu merupakan pencapaian terbaharu syarikat berkenaan dalam usaha memperkukuh keupayaan teknologi rangkaian kuasa elektrifikasi negara.

”Sistem i-HEV menggabungkan enjin petrol yang dibangunkan khusus untuk kenderaan hibrid, dua motor elektrik serta sistem pengurusan tenaga pintar bagi menawarkan penggunaan bahan api lebih rendah, selain prestasi pemanduan yang lancar dan responsif.

”Teknologi itu turut membolehkan kenderaan dipandu menggunakan kuasa elektrik dengan lebih senyap, selain boleh diisi petrol seperti biasa tanpa memerlukan pengecasan daripada sumber luaran,” jelas proton.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, sistem berkenaan mengurus penggunaan tenaga petrol dan elektrik secara pintar, sama ada ketika menghadapi kesesakan lalu lintas di bandar atau dalam perjalanan jarak jauh.

Menurutnya, pembangunan i-HEV turut memperkukuh keupayaan industri automotif tempatan apabila operasi PROTON di Tanjong Malim bukan sahaja menghasilkan enjin khusus hibrid (DHE), malah melaksanakan pemasangan tempatan transmisi khusus hibrid (DHT) dan unit pacuan elektrik (EDU).

”Usaha itu dapat memperluas penglibatan industri tempatan dalam pembangunan teknologi teras kenderaan elektrifikasi, selain meningkatkan kepakaran dalam aspek pemasangan, pengujian dan kawalan kualiti serta menyokong ekosistem pembekal automotif negara.

”pembangunan keupayaan tempatan dalam teknologi DHT dan EDU juga penting bagi membina asas industri untuk membolehkan Malaysia muncul sebagai hab serantau dalam pengeluaran dan pembangunan teknologi kenderaan masa hadapan,” jelasnya.

Sistem i-HEV sebelum ini diperkenalkan kepada umum menerusi Kuala Lumpur International Mobility Show dan Global Automotive Technology Expo tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.