
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 11 November – Status cadangan pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) masih di peringkat penyediaan dokumen Permintaan Cadangan atau Request for Proposal (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM).
- Kementerian Kerja Raya mengemukakan Pernyataan Keperluan Projek (SON) kepada UKAS JPM bagi tujuan penyediaan dokumen RFP.
- Cadangan LPT3 akan diangkat untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
- Fokus kerajaan kini memastikan kelancaran pelaksanaan Lebuhraya LTU dan KBKK mengikut perancangan.
- LPT3 dicadangkan 122 kilometer, dari Kampung Gemuruh ke Tunjung, dilaksanakan secara penswastaan PPP dengan kos ditanggung pembida.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kementerian telah mengemukakan Pernyataan Keperluan Projek (SON) kepada UKAS JPM.
“Kementerian Kerja Raya telah mengemukakan Pernyataan Keperluan Projek atau Statement of Needs (SON) kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM) bagi tujuan penyediaan dokumen RFP. Seterusnya, cadangan ini akan diangkat untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
“Buat masa ini, fokus utama kerajaan adalah memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) supaya dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,”
katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun, Datuk Wan Hassan Mohd Ramli ketika Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.
Menurutnya, LPT3 yang dicadangkan sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Tunjung, Kelantan itu bakal dilaksanakan secara penswastaan menerusi kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Pelaksanaan projek berkenaan dicadangkan menggunakan kaedah RFP, dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.
LPT3 bertujuan melengkapkan rangkaian Lebuhraya Pantai Timur sedia ada, iaitu LPT1 dan LPT2, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara Pahang, Terengganu dan Kelantan.