Amalkan pengesahan maklumat, perkukuh keselamatan akaun digital – NACSA

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 10 November – Orang ramai disaran mengamalkan langkah keselamatan siber termasuk menggunakan kata laluan yang kukuh dan mengaktifkan Pengesahan Berbilang Faktor (MFA) bagi melindungi akaun digital daripada ancaman pencerobohan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalkan prinsip zero trust: setiap akses perlu disahkan walaupun pengguna sudah diberi kebenaran.
  • Sahkan kesahihan maklumat, pautan atau mesej digital sebelum bertindak; jangan terima bulat-bulat.
  • Elakkan menggunakan rangkaian Wi-Fi awam untuk urusan melibatkan data sensitif.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, kelemahan amalan kebersihan siber dalam kalangan pengguna boleh membuka ruang kepada penjenayah mengeksploitasi akaun serta maklumat peribadi.

Menurut beliau, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika menerima maklumat atau pautan melalui platform digital kerana kandungannya tidak semestinya boleh dipercayai.

“Dalam bidang keselamatan siber, terdapat satu konsep yang dikenali sebagai ‘zero trust’, iaitu setiap akses perlu disahkan terlebih dahulu, walaupun seseorang individu telah diberikan kebenaran untuk mengakses sesuatu sistem. Pengesahan ini penting bagi memastikan individu berkenaan benar-benar mempunyai kebenaran untuk mengakses sistem tersebut.

“Sebagai individu, kita juga perlu mengamalkan konsep yang sama. Sebarang maklumat yang diterima melalui e-mel, WhatsApp, pautan atau saluran komunikasi lain tidak seharusnya dipercayai bulat-bulat. Sebaliknya, kesahihan maklumat tersebut perlu disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif terbitan RTM di Angkasapuri, di sini.

Ir. Dr. Megat Zuhairy turut mengingatkan pengguna supaya menukar kata laluan secara berkala, mengelakkan pautan mencurigakan dan tidak menggunakan rangkaian Wi-Fi awam bagi urusan melibatkan data sensitif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.