Tahanan rumah DS Najib: KDN sedia laksana perintah

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi membatalkan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 dan menggantikannya dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
  • KDN menghormati serta menjunjung pengampunan diraja menurut kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
  • KDN bersama AGC dan Jabatan Penjara akan melaksanakan hukuman mengikut undang-undang, serta menasihatkan pengendalian matang tanpa polemik politik.

Keputusan itu menyusul perintah mahkamah supaya Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 dibatalkan dan digantikan dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi kenyataan berkata, perintah berkenaan menetapkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan media beliau hari ini, KDN sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Kelewatan pelaksanaan tahanan rumah sebelum ini berpunca daripada persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026, khususnya berhubung pelaksanaan baki hukuman menerusi kaedah berkenaan.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini telah menjelaskan persoalan ini,” menurut kenyataan itu.

Saifuddin Nasution berkata, KDN menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa perkara berkenaan perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah.

Katanya, KDN bersama Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah.

“Justeru, semua pihak perlu mengendalikan perkara ini dengan matang dan bertanggungjawab, tanpa membiarkan polemik politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan dan peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Raja Berperlembagaan, selain menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman sebagai asas kestabilan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.