Inovasi IoT bantu penternak kawal suhu kandang, kurangkan risiko ternakan

Ulaimi Yahya

BACHOK, 10 November – Inovasi teknologi internet benda atau Internet of Things (IoT) menerusi pembangunan Sistem Pengurusan Pintar Berpusat Ternakan Ruminan yang dilakukan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berupaya membantu penternak mengawal suhu kandang secara automatik sekali gus mengurangkan risiko lembu mengalami strok haba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem dilengkapi sensor suhu yang mengaktifkan sprinkler secara automatik apabila suhu mencapai 40 darjah Celsius untuk menurunkan suhu kandang.
  • Pemantauan paras air masa nyata membolehkan penternak memantau bekalan air melalui telefon pintar walaupun berada jauh dari ladang.
  • Projek dijalankan melalui kerjasama dan pembiayaan, serta dirancang ditambahbaik dengan tenaga solar dan bateri untuk operasi tanpa bekalan elektrik stabil.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan dan Kolej Komuniti Ulaimi Yahya berkata, sistem yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman politeknik itu dilengkapi sensor pengesan suhu yang membolehkan tindakan penyejukan dilakukan secara automatik apabila suhu kandang mencecah 40 darjah Celsius.

“Kita boleh melaksanakan kaedah automatik, iaitu apabila suhu mencapai tahap tertentu, sistem penyiram air (sprinkler) akan diaktifkan secara automatik untuk menurunkan suhu persekitaran.

“Langkah ini bagi memastikan suhu sentiasa terkawal dan mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan ternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyerahan Projek PPRN (Public-Private Research Network) Sistem Pengurusan Pintar Berpusat Ternakan Ruminan di HL Agro Farm KB Sdn Bhd, di sini.

Inovasi itu dibangunkan menerusi kerjasama PSMZA dan AKF Solutions menerusi inisiatif Program Penyelidikan dan Pemindahan Teknologi (PPRN) 2.0 dengan pembiayaan sebanyak RM50,000.

Selain kawalan suhu, sistem itu turut dilengkapi kemudahan pemantauan paras air yang membolehkan penternak mengetahui kapasiti bekalan air secara masa nyata menerusi telefon pintar, meskipun berada jauh dari lokasi ladang.

Pembangunan sistem itu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar industri penternakan, khususnya dalam meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.

Usaha itu juga akan diteruskan menerusi penambahbaikan teknologi termasuk penggunaan tenaga solar dan bateri sebagai sumber bekalan elektrik alternatif bagi memastikan sistem dapat beroperasi walaupun di kawasan yang mempunyai keterbatasan bekalan elektrik.

Untuk rekod, sepanjang 2015 hingga 2026, institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) berjaya memperoleh 124 projek PPRN dengan nilai pembiayaan keseluruhan lebih RM4.63 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.