Permintaan tenaga pusat data buka peluang pasaran gas baharu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 November – PETRONAS berpotensi memanfaatkan permintaan tenaga yang semakin meningkat daripada sektor pusat data menerusi pembekalan gas bagi tujuan penjanaan elektrik khusus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Membuka pasaran domestik baharu bagi industri gas dan menambah peluang memperoleh pelanggan jangka panjang pada harga pasaran.
  • Malaysia berada di landasan tepat mencapai sasaran tenaga boleh baharu, dengan sasaran 35% menjelang 2030 dan 70% pada 2050.
  • Pusat data boleh menggunakan gas untuk penjanaan elektrik sendiri, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan daripada grid nasional.
  • Sumber gas negara terhad; perjanjian bekalan jangka panjang beri kepastian permintaan, perlu mengambil kira pasaran dan komitmen sedia ada.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan itu boleh membuka pasaran domestik baharu kepada industri gas negara, selain memberi peluang kepada syarikat tersebut memperoleh pelanggan untuk tempoh jangka panjang pada harga pasaran.

“Dengan komposisi kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) ketika ini sebanyak 33 peratus, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 35 peratus menjelang 2030, sebelum meningkat kepada 70 peratus pada 2050.

“Permintaan tenaga daripada sektor pusat data membuka peluang untuk Malaysia memperluas dan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga negara.

“Sebagai contoh, penggunaan tenaga solar dapat dimanfaatkan dengan lebih optimum apabila digabungkan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Siri Sektoral Invest Malaysia: Memacu Era AI – Apa Seterusnya dalam Keperluan Tenaga? di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pusat data boleh menggunakan gas sebagai sumber penjanaan elektrik, bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan daripada grid nasional.

Jelas beliau, perjanjian bekalan gas untuk tempoh jangka panjang juga berpotensi memberi kepastian permintaan kepada pengeluar tenaga, selain membolehkan pengendali pusat data mendapatkan bekalan elektrik yang diperlukan bagi operasi mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sumber gas negara adalah terhad dan sebarang pengaturan bekalan perlu mengambil kira keadaan pasaran serta komitmen sedia ada.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.