Dua rentung kereta dinaiki terlibat kemalangan dan terbakar

Dua rentung manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dan terbakar berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala dari Jalan Bakar Batu ke Permas Jaya

JOHOR BAHRU, 10 November – Dua individu ditemukan rentung manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik dan terbakar berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala dari Jalan Bakar Batu ke Permas Jaya, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya pada pukul 4.35 pagi.
  • Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan Satu Razali Hussein mengeluarkan kenyataan rasmi.
  • Seorang lelaki 23 tahun mengalami kecederaan melecur pada tangan dan kaki; seorang lagi dihantar ke hospital.
  • Kenderaan dilaporkan musnah kira-kira 90 peratus; mangsa maut diserahkan kepada polis; operasi tamat 6.47 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan Satu, Razali Hussein dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 pagi.

“Kenderaan berkenaan telah terbakar dengan tiga daripada lima mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan dan kaki, manakala seorang lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh orang awam. Seorang lagi dilaporkan selamat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, dua mangsa yang masih berada di dalam kenderaan ditemukan rentung dan disahkan meninggal dunia, dengan identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Kenderaan itu dilaporkan musnah kira-kira 90 peratus, manakala kedua-dua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi melibatkan 11 anggota bersama sebuah jentera tamat, pukul 6.47 pagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.