Seorang mangsa kepala air ditemukan, tujuh masih hilang

Foto JBPM Selangor

KUALA KUBU BHARU, 10 November – Seorang daripada lapan mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu ditemukan lemas awal pagi tadi, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa masih diteruskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi SAR dibahagikan kepada empat sektor: A Lata Jebus ke Lubuk Pertak, B Lubuk Pertak ke Jambatan Dam, C Jambatan Dam, D empangan.
  • JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.55 petang berhubung kejadian kepala air di Sungai Pertak.
  • Seramai 19 mangsa yang terkandas berjaya dibawa turun dengan selamat pada pukul 12.16 tengah malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan mangsa yang ditemukan ialah lelaki tempatan.

“Mangsa ditemukan di kawasan Jambatan Pertak pada pukul 1.30 pagi.

“Operasi SAR yang disambung pagi ini dibahagikan kepada empat sektor bagi memperluas kawasan pencarian.

“Sektor A meliputi kawasan dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, manakala Sektor B dari Lubuk Pertak ke Jambatan Dam.

“Sektor C pula tertumpu di kawasan Jambatan Dam, sementara Sektor D melibatkan kawasan empangan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.55 petang berhubung kejadian kepala air di Sungai Pertak.

Maklumat awal memaklumkan seorang lelaki warga Yaman berusia 20 tahun dihanyutkan arus ketika berkelah bersama empat individu lain yang kemudian disahkan selamat.

Bomba turut menerima maklumat mengenai satu lagi kumpulan di Lata Jebus, membabitkan tujuh individu yang dihanyutkan arus, manakala beberapa individu lain berjaya menyelamatkan diri atau terkandas.

Pasukan penyelamat juga menerima laporan mengenai kumpulan yang terkandas di Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.

Seramai 19 mangsa yang terkandas berjaya dibawa turun dengan selamat pada pukul 12.16 tengah malam tadi.

Sementara itu, pihak polis masih menjalankan pengesahan bagi menentukan jumlah sebenar mangsa yang dilaporkan hilang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.