PRN Melaka: 934 pengundi awal di tiga DUN

Foto RTM

MELAKA, 10 November – Seramai 342 pengundi awal, termasuk tujuh pengundi pos, layak menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.08 Machap Jaya hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat pengundian awal dibuka di Dewan Serbaguna IPD Alor Gajah, operasi 8 pagi hingga 5 petang, 14 petugas SPR ditugaskan.
  • DUN N.24 Bemban: pengundian awal di Dewan Serbaguna IPD Jasin, 352 anggota polis mengundi melalui satu saluran.
  • DUN N.17 Bukit Katil: pusat pengundian awal di Rejimen 514 Askar Wataniah, 240 pengundi awal layak mengundi di kem.
  • Pengundian awal memberi peluang anggota keselamatan dan petugas menunaikan tanggungjawab sebelum hari pengundian 14 November.

Pusat pengundian awal dibuka di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, dengan 14 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan mengendalikan proses berkenaan.

Sebanyak satu saluran disediakan bagi memastikan kelancaran proses pengundian.

Tinjauan mendapati proses pengundian berlangsung dalam keadaan terkawal, dengan pemilih terlebih dahulu menjalani semakan sebelum memasuki saluran mengundi.

Sementara itu, di DUN N.24 Bemban, pusat pengundian awal turut dibuka di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Seramai 352 anggota polis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di kawasan berkenaan menerusi satu saluran yang disediakan.

Bagi DUN N.17 Bukit Katil pula, pusat pengundian awal di Rejimen 514 Askar Wataniah, Kem Bukit Beruang dibuka secara rasmi pada pukul 8 pagi tadi.

Anggota tentera dan pasangan turut hadir secara berperingkat bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, dengan seramai 240 pengundi awal layak mengundi di kem berkenaan hari ini.

DUN N.17 Bukit Katil menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang, Adly Zahari daripada Pakatan Harapan (PH) yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Ridzuan Sarif; calon BERSAMA, Dr. Aliza Che Amran; dan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

Pengundian awal memberi peluang kepada anggota keselamatan dan petugas berkaitan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih sebelum hari pengundian PRN Melaka ke-16 pada 14 November ini.

Bagi DUN N.08 Machap Jaya, pertandingan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ngwe Hee Sem; Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin; dan BERSAMA, Prasanth Kumar Brakasam.

DUN N.08 Machap Jaya mempunyai seramai 16,030 pemilih berdaftar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.