
KUALA SELANGOR, 9 November – Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Selangor bakal menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM3,000 berikutan tambahan RM500 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
- Kerajaan Persekutuan menaikkan bantuan tunai sekali bayar kepada RM2,500, menyebabkan peningkatan sumbangan negeri.
- Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi Perdana Menteri lawat PPS SK Parit Mahang yang menempatkan 154 penduduk daripada 36 keluarga.
- Banjir berpunca daripada aliran air deras dari Puncak Alam disebabkan hujan lebat bertembung dengan fenomena air pasang besar.
- Amirudin arahkan agensi pastikan kebajikan, bekalan makanan dan perkhidmatan kesihatan di PPS terutama warga emas, kanak-kanak dan pesakit berkeperluan khas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan berkenaan meningkat setelah kerajaan persekutuan menaikkan bantuan tunai sekali beri kepada RM2,500.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di sini yang menempatkan seramai 154 penduduk terjejas daripada 36 keluarga, petang tadi.
Menurut Datuk Seri Amirudin lagi, kejadian banjir di kawasan berkenaan berpunca daripada aliran air deras dari arah Puncak Alam ekoran taburan hujan lebat berterusan yang bertembung dengan fenomena air pasang besar.
“Saya mengarahkan seluruh agensi berkaitan untuk memastikan kebajikan, bekalan makanan, dan perkhidmatan kesihatan di PPS sentiasa berada pada tahap terbaik, terutamanya bagi golongan warga emas, kanak-kanak serta pesakit berkeperluan khas,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan negeri Selangor menyambut baik sokongan Kerajaan Persekutuan dan komited meneruskan kerjasama rapat bagi memastikan urusan agihan bantuan berjalan lancar dan telus kepada semua penduduk terjejas yang layak.