
JAKARTA, 9 November – Seorang kru warga Indonesia yang dilaporkan hilang selepas helikopter dinaikinya terhempas ke dalam Sungai Barito di wilayah Kalimantan Selatan pada Ahad telah ditemukan meninggal dunia, menurut pihak berkuasa.
- Mayat Yayan Supyansuri, pegawai pendaratan helikopter, dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat Jenamas dan kemudian ke Banjarbaru.
- Helikopter Super Puma sewaan swasta terhempas berhampiran Kampung Tabatan semasa operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah dari udara.
- Dua penumpang terselamat ialah Michael John Betterridge (Australia) dan Hugh Andrew John Page (New Zealand), dirawat di Hospital Tentera Udara Indonesia.
- BNPB akan bantu siasatan, menilai keselamatan operasi udara, dan operasi pemadaman diteruskan fokus darat dengan penilaian ketat sebelum pengerahan pesawat.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Berton SP Panjaitan mengenal pasti mangsa sebagai Yayan Supyansuri, yang bertugas sebagai pegawai pendaratan helikopter.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat Jenamas di Kabupaten Barito Selatan, Kalimantan Tengah, sebelum dibawa ke Banjarbaru di Kalimantan Selatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mangsa bersama dua individu lain menaiki helikopter Super Puma yang disewa daripada syarikat swasta ketika pesawat itu terhempas berhampiran Kampung Tabatan di Kabupaten Barito Kuala, Kalimantan Selatan, awal Ahad semasa menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah dari udara.
Dua mangsa yang terselamat, warga Australia Michael John Betterridge dan warga New Zealand Hugh Andrew John Page telah menerima rawatan di hospital Tentera Udara Indonesia.
Berton berkata BNPB akan membantu siasatan rasmi bagi mengenal pasti punca nahas serta menilai semula aspek keselamatan operasi pemadaman kebakaran dari udara, termasuk kesiapsiagaan pesawat, prosedur pengambilan air, tahap kesihatan kru dan keadaan cuaca.
Agensi itu memaklumkan bahawa operasi pemadaman kebakaran akan diteruskan dengan memberi lebih tumpuan kepada operasi darat serta penilaian lebih ketat sebelum pesawat dikerahkan.- BERNAMA