
ASUNCION, 8 November– Bekas Presiden Paraguay, Santiago Pena didakwa dan ditahan berhubung krisis perbankan.
- Krisis perbankan menyebabkan jutaan penduduk tidak dapat mengakses wang dan mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.
- Senat menyingkirkan Pena tiga hari selepas kejatuhan bank berkaitan perniagaannya; pengguguran itu menarik balik kekebalan undang-undang.
- Ueno Bank menyimpan akaun hampir separuh daripada 6.5 juta penduduk dan memegang lebih AS$800 juta dana kerajaan.
- Beliau dilaporkan mengalihkan jutaan deposit kerajaan ke Ueno, menyembunyikan masalah kewangan dan berdepan konflik kepentingan berkaitan pelantikan ketua bank pusat.
Krisis tersebut dilapor menyebabkan jutaan penduduk tidak dapat mengakses wang mereka sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.
Pena, 47, yang merupakan presiden termuda dalam sejarah Paraguay, disingkirkan daripada jawatannya oleh Senat, hanya tiga hari selepas kejatuhan bank utama yang mempunyai kaitan dengan perniagaannya.
Beliau menawarkan diri untuk meletakkan jawatan, namun pihak berkuasa memilih untuk memecatnya melalui proses pendakwaan, sekali gus menarik balik kekebalan undang-undang yang sepatutnya dinikmati sekiranya beliau meletakkan jawatan.
Pena kemudiannya dihadapkan kepada pendakwa raya sebelum didakwa atas kesalahan “pecah amanah dan salah urus demi kepentingan peribadi”.
Ueno Bank, sebuah bank dalam talian yang popular, mempunyai akaun hampir separuh daripada keseluruhan 6.5 juta penduduk Paraguay selain menyimpan lebih AS$800 juta dana kerajaan.
Kejatuhan bank berkenaan menggegarkan Paraguay, sebuah negara kecil yang lazimnya stabil, sehingga mencetuskan demonstrasi jalanan.
Pena yang mula memegang jawatan pada 2023 memegang saham dalam syarikat induk bank itu, Ueno Holding, sebelum menjualnya pada tahun lalu.
Beliau didakwa menyalahgunakan pengaruh sebagai presiden untuk menyalurkan jutaan dolar deposit kerajaan kepada Ueno Bank.
Ini termasuk menyembunyikan atau memperkecilkan masalah kewangan institusi berkenaan, meskipun telah diberi amaran mengenai pinjaman meragukan dan masalah kemampuan membayar hutang.
Pena juga dituduh terlibat dalam konflik kepentingan kerana melantik bekas pengarah Ueno Bank, Carlos Carvallo, untuk menerajui Bank Pusat Paraguay. -AFP.