Palestin gesa tindakan antarabangsa segera elak bencana kemanusiaan di Gaza

Bangunan yang rosak di Gaza

RAMALLAH, 8 November– Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin pada Sabtu menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi khususnya, serta pertubuhan kemanusiaan dan bantuan antarabangsa supaya mengambil tindakan segera dan bersepadu bagi menyelamatkan nyawa di Semenanjung Gaza serta menangani krisis kemanusiaan dan alam sekitar yang semakin meruncing menjelang musim sejuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan segera resolusi Majlis Keselamatan PBB 2720 dan 2803 serta tindakan konkrit terhadap pelanggaran Israel.
  • Tekanan segera ke atas Israel untuk membuka semua lintasan bagi bantuan tanpa sekatan, termasuk bekalan bahan api dan peralatan pam air kumbahan.
  • Tindakan kecemasan melindungi penghuni khemah: khemah tahan hujan, bahan kalis air, pemanas, ubat, air bersih dan pembaikan pembetungan.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan kementerian itu memberi amaran bahawa krisis yang sedang berlaku boleh bertukar menjadi bencana lebih besar dan meragut lebih banyak nyawa khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit.

Menurut kementerian itu, genosid dan pencerobohan berterusan Israel terhadap Gaza telah memburukkan krisis kemanusiaan serta menghalang usaha pemulihan awal.

Hujan pertama yang turun sejak beberapa jam lalu turut mendedahkan keadaan daif yang dihadapi rakyat Palestin di seluruh wilayah itu.

Dianggarkan hampir dua juta rakyat Palestin kini tinggal di kira-kira 270,000 khemah dan pusat penempatan sementara di seluruh Gaza.

Antara 60 hingga 85 peratus khemah berkenaan sudah usang dan tidak lagi sesuai digunakan selepas hampir tiga tahun genosid dan pemindahan paksa yang berterusan.

Kementerian itu memaklumkan lebih 400,000 rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal kini menetap di kawasan berisiko tinggi terdedah kepada banjir dan takungan air hujan atau terletak berhampiran pesisir pantai.

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa kemusnahan infrastruktur, khususnya rangkaian pembetungan dan sistem saliran air hujan, semakin meningkatkan risiko berkenaan.

Kanak-kanak, warga emas dan pesakit juga kekurangan pakaian musim sejuk, selimut, tilam serta alat pemanas, manakala gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bahan api menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca sejuk dan hujan yang boleh mengancam nyawa.

Kementerian itu menegaskan bahawa usaha antarabangsa tidak seharusnya terhad kepada rayuan kemanusiaan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan pelaksanaan segera resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan termasuk Resolusi 2720 dan 2803, serta langkah konkrit bagi menangani pelanggaran yang dilakukan Israel.

Kementerian itu turut menggesa tekanan segera dikenakan terhadap Israel selaku kuasa penjajah supaya membuka semua lintasan sempadan dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat dibawa masuk tanpa sekatan atau gangguan, dalam jumlah yang sepadan dengan keperluan besar penduduk Gaza serta dapat disalurkan ke seluruh wilayah itu.

Selain itu, kementerian berkenaan menggesa kemasukan segera bahan api dan peralatan yang diperlukan untuk mengendalikan pam air dan kumbahan, mengeluarkan air hujan serta air kumbahan yang bertakung, selain melaksanakan langkah kecemasan bagi melindungi kem penempatan sementara dan pusat perlindungan daripada banjir.

Kementerian itu turut menggesa masyarakat antarabangsa menyediakan keperluan perlindungan musim sejuk termasuk tempat tinggal sementara, khemah tahan hujan dan angin, helaian plastik, bahan kalis air dan penebat haba serta peralatan untuk membaiki rumah yang rosak dan tidak selamat dari segi struktur.

Kementerian itu turut menggesa pelaksanaan langkah kecemasan dalam aspek kesihatan dan pencegahan termasuk penyediaan ubat-ubatan, bekalan perubatan, air bersih dan bahan pembasmi kuman, di samping memperkukuh perkhidmatan kesihatan serta langkah membendung penyakit dan wabak yang berpunca daripada pencemaran air dan kemerosotan keadaan persekitaran.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.