33 maut di Sanaa, Yaman

Foto hiasan / AFP

SANAA, 8 November– Sekurang-kurangnya 33 maut, termasuk wanita dan kanak-kanak di Sanaa, Yaman ketika korban terus meningkat susulan konflik yang kembali tercetus di negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Houthi menuduh serangan udara pada kampung Al-Shariya di timur Sanaa dilakukan oleh gabungan pimpinan Arab Saudi.
  • PBB melaporkan lebih 1,600 orang maut dan lebih 300,000 kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran tercetus semula.
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan sementara pasukan perubatan dilaporkan menjadi sasaran dua serangan udara.
  • Gabungan dipimpin Arab Saudi berkata mereka menumpaskan peluru berpandu Houthi yang didakwa dilancarkan ke arah wilayah Riyadh.

Kumpulan Houthi mendakwa serangan udara itu dilakukan Arab Saudi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada 1,600 orang terkorban dan lebih 300,000 penduduk, kehilangan tempat tinggal sejak pertempuran tercetus semula.

Sementara itu, Jurucakap kementerian Kesihatan Houthi, Anees Alasbahi di platform X menuduh angka kematian akibat serangan gabungan pimpinan Arab Saudi ke atas kampung Al-Shariya di timur Sanaa meningkat kepada 33 orang, manakala 39 lagi cedera.

Agensi berita Saba milik Houthi melaporkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan masih diteruskan.

Laporan itu turut mendakwa pasukan perubatan yang membantu mangsa menjadi sasaran dua serangan udara.

“Berdasarkan angka yang hampir muktamad, mereka yang terkorban terdiri daripada 12 lelaki, 8 wanita dan 13 kanak-kanak.

“Mangsa yang cedera pula termasuk 16 lelaki, 10 wanita dan 13 kanak-kanak,” kata Alasbahi.

Dalam pada itu, stesen televisyen Al-Masirah, menyiarkan rakaman dipercaya dirakam di Al-Shariya, memaparkan kepulan asap dari lokasi serangan, timbunan runtuhan, serta mangsa cedera yang menerima rawatan di hospital.

Setakat ini tiada kenyataan dikeluarkan Arab Saudi berhubung dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, gabungan diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu Houthi yang didakwa dilancarkan ke arah wilayah Riyadh. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.