Trump tawar CEO UFC jawatan Setiausaha Akhbar

Dana White/ AFP

WASHINGTON, 8 November- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan jawatan Setiausaha Akhbar White House kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump melalui Truth Social memuji White sebagai pejuang dan menggesa beliau menerima tawaran itu.
  • White belum mengesahkan penerimaan; beliau muat naik gambar mungkin dijana AI, berdiri di belakang podium White House "Menuju bab seterusnya".
  • Jawatan Setiausaha Akhbar kosong sejak 16 Oktober selepas peletakan jawatan Katie Zacharia, kurang seminggu selepas dilantik.
  • Trump menyenaraikan enam petarung UFC sebagai penasihat, termasuk dua warga Rusia dan seorang dari Brazil.

Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Sabtu, Trump menyifatkan White sebagai seorang pejuang dan pahlawan yang hebat, selain menggesanya menerima tawaran berkenaan.

“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa Dana White yang hebat, seorang pejuang dan pahlawan, telah ditawarkan jawatan Setiausaha Akhbar Amerika Syarikat.

“Dana, sila terima jawatan itu!” katanya.

White, 57, bagaimanapun belum mengesahkan penerimaan tawaran berkenaan.

Sebaliknya, beliau memuat naik sekeping gambar yang dipercayai mungkin dijana kecerdasan buatan (AI), memaparkan dirinya berdiri di belakang podium di bilik taklimat media White House dengan kapsyen “Menuju bab seterusnya”.

Jawatan Setiausaha Akhbar White House kosong sejak 16 Oktober lalu selepas Katie Zacharia meninggalkan jawatan itu kurang seminggu selepas dilantik.

White merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UFC, organisasi seni bela diri campuran terbesar dan paling berjaya di dunia.

Trump turut menyenaraikan enam petarung UFC yang diharapkannya dibawa White ke White House sebagai penasihat termasuk beberapa individu bukan warga AS.

Dua daripada mereka berasal dari Rusia manakala seorang lagi dari Brazil.

Hubungan persahabatan Trump dan White telah lama terjalin dengan Presiden AS itu sering mengaitkan jenama politik MAGA dengan UFC yang mempunyai pengikut ramai di seluruh dunia.

Pada Jun lalu, sempena ulang tahun kelahiran Trump ke-80, UFC menganjurkan perlawanan sangkar di kawasan South Lawn, White House.

White juga pernah bersama Trump ketika menyampaikan ucapan kemenangan selepas calon Republikan itu memenangi pilihan raya presiden 2024.

Selain itu, White menyertai lembaga pengarah Meta selepas kemenangan Trump, perkembangan yang dilihat ramai sebagai petunjuk perubahan hala tuju syarikat teknologi itu ke arah konservatif.  -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.