
KULIM, 7 November – Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh kerjasama dan perkongsian maklumat bertujuan menangani pelbagai isu keselamatan juga mewujudkan ekosistem sekolah selamat.
- Mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Polis dan Kementerian Pendidikan bincangkan keperluan perkongsian maklumat pelajar dan tindakan bersama.
- Fokus pada profil pelajar: sesetengah memerlukan rawatan pakar psikiatri, namun sekolah tidak mempunyai maklumat perubatan daripada KKM.
- Ekosistem keselamatan melibatkan kira-kira 5.2 juta pelajar di 12,000 sekolah, memerlukan tindakan bersepadu antara agensi.
- Penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar membimbangkan kerana cecair mengandungi bahan berpotensi toksik belum disenaraikan sebagai racun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menyatakan komitmen itu berkata, ketiga-tiga kementerian tidak boleh bekerja secara berasingan dalam menangani pelbagai isu di sekolah.
“Keperluan itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Polis dan Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Pusat Latihan Polis minggu lepas.
“Antara yang dibangkitkan termasuk soal profil pelajar sebagai contoh terdapat pelajar yang memerlukan rawatan dan konsultasi dengan pakar psikiatri, sedangkan pihak sekolah tidak mempunyai maklumat berkenaan yang ada pada KKM,”katanya pada Program Semarak Kebudayaan Masyarakat Kedah Bersama Polis Diraja Malaysia 2026.
Beliau turut mengakui kerjasama antara tiga kementerian itu penting berikutan ekosistem keselamatan sekolah melibatkan kira-kira 5.2 juta pelajar di 12,000 sekolah seluruh negara, sekali gus memerlukan perkongsian maklumat dan tindakan bersepadu antara agensi berkaitan.
Sementara itu, isu penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar turut menjadi perhatian kerana kandungan cecair peranti itu yang mengandungi pelbagai bahan boleh menimbulkan kesukaran kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
“Terdapat bahan yang berpotensi mengandungi komponen racun tetapi belum disenaraikan sebagai racun, sekali gus menimbulkan cabaran kepada polis untuk melengkapkan siasatan dan membawa kes ke peringkat pendakwaan,”akuinya.