Isu Pengampunan Najib: Peguam Negara mohon menghadap YDP Agong

Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 November – Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pejabat Perdana Menteri maklum pertemuan untuk memperjelas persoalan perundangan yang memerlukan keputusan mahkamah.
  • Peguam Negara akan jelaskan isu perundangan dari Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi selepas pembayaran denda RM50 juta, menjejaskan tarikh permulaan hukuman 1MDB.
  • Perdana Menteri arahkan Tan Sri Mohd Dusuki segera menghadap untuk meneliti kekangan undang-undang baki hukuman SRC dan implikasinya terhadap 1MDB.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pertemuan itu turut bertujuan memperjelas persoalan perundangan yang memerlukan keputusan mahkamah.

“Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui selepas melancarkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam, Selangor, memaklumkan beliau telah mengarahkan Tan Sri Mohd Dusuki supaya segera menghadap Seri Paduka Baginda berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat berkenaan.

Datuk Seri Anwar menjelaskan, kekangan undang-undang melibatkan baki hukuman dalam kes SRC International perlu diteliti bersama implikasinya terhadap kes 1MDB.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Shah Alam, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.