
KUALA LUMPUR, 7 November – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula 27 Oktober lalu dan dijangka berakhir Mac tahun depan.
- Pemantauan 24 jam di 36 lembangan disokong 2,237 stesen telemetri, 614 siren dan 197 kamera pemantauan.
- Sebanyak 3,045 titik panas banjir dikenal pasti; aset operasi termasuk 1,079 pintu kawalan air, 285 rumah pam, 580 pam kecemasan.
- Pemantauan juga melibatkan 16 empangan dan 781 kolam takungan serta penyelenggaraan di lembangan sungai berisiko tinggi.
- Kerjasama dengan MCMC dan telekomunikasi untuk amaran SMS; JPS keluarkan buletin dan hantar jutaan SMS; guna portal dan aplikasi rasmi.
PETRA dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan ramalan banjir dilaksanakan selama 24 jam di 36 lembangan sungai, disokong 2,237 stesen hidrologi telemetri, 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan di seluruh negara.
“Sebanyak 3,045 lokasi titik panas banjir turut dikenal pasti, manakala aset operasi melibatkan 1,079 pintu kawalan air, 285 rumah pam dan 580 pam kecemasan mudah alih berada dalam keadaan siap siaga.
“Pemantauan turut melibatkan 16 empangan kendalian JPS dan 781 kolam takungan banjir, selain penyelenggaraan di lembangan sungai berisiko tinggi,” katanya.
Kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi diteruskan bagi menyalurkan amaran banjir melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Dalam usaha mengurangkan risiko banjir, sebanyak 1,638 kerja kecil dilaksanakan pada 2026 dengan kos RM652 juta, manakala 342 projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diluluskan dengan peruntukan RM3.2 bilion,” tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, sepanjang MTL 2025/2026, sebanyak 799 kejadian banjir direkodkan di seluruh negara, merangkumi 480 banjir monsun, 274 banjir kilat, 25 banjir genang dan 20 banjir pantai.
Dalam tempoh sama, JPS mengeluarkan 103 buletin ramalan dan amaran banjir, manakala 14.8 juta SMS disalurkan kepada penduduk di kawasan berisiko.
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan terkini melalui portal Public InfoBanjir dan aplikasi MyPublicInfoBanjir bagi mendapatkan maklumat serta amaran banjir rasmi.