
ISTANBUL, 7 November – Malaysia sedia membantu Lubnan bertujuan memperkukuh keupayaan dan daya tahan negara berkenaan mencakupi pembangunan semula infrastruktur, ekonomi komuniti, bantuan kemanusiaan, latihan kemahiran Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kerjasama pertahanan.
- Hubungan persahabatan kukuh melalui penglibatan Batalion Malaysia (MALBATT) sejak 2007, menyokong keamanan dan kestabilan selatan Lubnan hampir dua dekad.
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Dr Tarek Mitri selepas Forum Dunia TRT 2026 di ICC Istanbul.
- Beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung D-8, Sohail Mahmood, dan berbincang mengenai usaha memperkukuh kerjasama antara negara anggota.
- Perbincangan menekankan potensi pasaran melebihi 1.2 bilion penduduk untuk memperluas perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik D-8.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui kedua-dua negara mempunyai hubungan persahabatan yang cukup istimewa khususnya menerusi penglibatan pasukan pengaman negara, Batalion Malaysia (MALBATT), sejak 2007.
“Anggota MALBATT telah memainkan peranan penting dalam menyokong keamanan serta kestabilan di selatan Lubnan, hampir dua dekad,”katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, terdahulu mengadakan pertemuan bersama dengan rakan sejawat Timbalan Perdana Menteri Lubnan, Dr Tarek Mitri selepas Forum Dunia TRT 2026 di Pusat Kongres Istanbul (ICC), semalam.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menerima kunjungan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) Sohail Mahmood dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik global.
Perbincangan turut menyentuh mengenai potensi pasaran yang merangkumi lebih 1.2 bilion penduduk, selain melihat D-8 mempunyai potensi besar untuk memperluas perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara negara anggota.