
KUALA LUMPUR, 7 November -Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 19 pegawai kanan, membabitkan pelbagai jawatan di Bukit Aman dan kontinjen yang berkuat kuasa 7 Dis ini.
- Datuk Mohammad Shaharul Md Osman dilantik Ketua Polis Pahang.
- DCP Datuk Victor Sanjos dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah, memangku pangkat CP; perlu melapor diri selepas 11 November.
- DCP Saifullizan Ishak dilantik Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat CP.
- SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek dilantik Komander ESSCOM, memangku pangkat DCP; perlu melapor diri pada atau selepas 11 November.
Setiausaha Polis Malaysia DCP Mohammad Mashdik Yahya berkata pertukaran itu antaranya melibatkan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman Datuk Mohammad Shaharul Md Osman yang dilantik sebagai Ketua Polis Pahang.
Beliau berkata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) DCP Datuk Victor Sanjos pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP) dan perlu melapor diri selepas 11 November.
“Pertukaran turut melibatkan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat CP.
“Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang SAC Datuk Mohd Yusri Othman pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat DCP dan perlu melapor diri selepas 19 November,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Turut diumumkan dalam pertukaran itu ialah Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Sabah SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek sebagai Komander ESSCOM dengan memangku pangkat DCP serta perlu melapor diri pada atau selepas 11 Nov.
“Ketua JSJ Pulau Pinang SAC Zailanni Amit pula dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat DCP.
“Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Komuniti) Bahagian Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman SAC Rahimi Ra’ais dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya.
Mohammad Mashdik berkata Timbalan Ketua JSJ Risikan/Operasi Kedah ACP Zailani Mohd Yusoff dilantik sebagai Ketua JSJ Pulau Pinang dengan memangku pangkat SAC.
Beliau berkata Penolong Pengarah Perjawatan (Audit) Cawangan Perjawatan Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Suhana Adenan pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
“Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am), Bahagian Kepolisan Am, JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
“Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Perdana Menteri ACP Yusri Mahmud dilantik sebagai Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas JKDNKA, Ulu Kinta, Perak dengan memangku pangkat SAC,” katanya.
Timbalan Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, JKDNKA Cheras, Selangor ACP Awang Arfian Awang Bujang pula dilantik sebagai Komander Briged berkenaan dengan memangku pangkat SAC.
“Pegawai Tugas-Tugas Khas (1) Yang di-Pertuan Agong ACP Mohd Irwan Rasul dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Yang di-Pertuan Agong dengan memangku pangkat SAC.
“Timbalan Ketua JPJKK (Operasi Pencegahan/Analisis Pendataan/Koordinasi Sumber Sokongan) Sarawak ACP Dasuki Che Driss dilantik sebagai Ketua JKDNKA Sabah dengan memangku pangkat SAC dan perlu melapor diri pada atau selepas 11 Nov,” katanya.
Mohammad Mashdik berkata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah dilantik sebagai Ketua JPJKK Sarawak dengan memangku pangkat SAC serta perlu melapor diri selepas 15 Nov.
“Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur Superintenden Suffian Abdullah dilantik sebagai Ketua JSPT Kuala Lumpur dengan memangku pangkat ACP.
“Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintenden Azrol Anuar Nor dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Johor dengan memangku pangkat ACP,” katanya.
Ketua JSPT Sabah Superintenden Yampil Anak Garai pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Sabah dengan memangku pangkat ACP dan perlu melapor diri selepas 16 Dis.
“Pegawai Turus Pentadbiran Jabatan Pengurusan Kedah Superintenden Mohammad Shofee Tayib dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kedah dengan memangku pangkat ACP serta perlu melapor diri selepas 18 Dis,” katanya. – BERNAMA