KESUMA komited selesai pertikaian NUBE-MCBA secara harmoni

Foto Fb Kementerian Sumber Manusia

PUTRAJAYA, 7 November – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kekal komited memudah cara penyelesaian pertikaian perusahaan antara Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan Persatuan Bank-Bank Perdagangan Malaysia (MCBA) secara harmoni, selaras dengan peruntukan undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rayuan Menteri difailkan untuk mendapat penentuan Mahkamah Rayuan mengenai isu perundangan timbul daripada keputusan Mahkamah Tinggi.
  • Permohonan MCBA untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah dibenarkan, menyebabkan rundingan perjanjian kolektif tidak dapat diteruskan.
  • Kementerian menyeru semua pihak menghormati proses perundangan dan memberi ruang bagi penyelesaian baik demi memelihara hak serta keharmonian hubungan perusahaan.

Menerusi kenyataan media, KESUMA menjelaskan rayuan yang difailkan Menteri Sumber Manusia bertujuan mendapatkan penentuan Mahkamah Rayuan berhubung isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Tinggi.

“Penerusan proses rayuan berkenaan tidak bermakna ruang rundingan antara kedua-dua pihak ditutup.

“Menteri Sumber Manusia tidak pernah memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi, manakala Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) telah mengambil inisiatif memanggil pihak terbabit bagi meneruskan proses perdamaian.

“Bagaimanapun, permohonan MCBA untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu telah dibenarkan, sekali gus menyebabkan rundingan berkaitan perjanjian kolektif tidak dapat diteruskan sepanjang tempoh perintah berkenaan berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

KESUMA turut menjelaskan bahawa penarikan balik rayuan oleh Menteri Sumber Manusia tidak secara automatik membolehkan rundingan NUBE dan MCBA disambung semula selagi perintah penangguhan berkenaan masih berkuat kuasa.

Sehubungan itu, kementerian menyeru semua pihak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan terus memberi ruang kepada penyelesaian secara baik demi memelihara hak serta kepentingan pihak terlibat, selain memastikan keharmonian hubungan perusahaan terus terpelihara.

Pertikaian berkenaan melibatkan pembayaran Bantuan Perayaan serta Perjanjian Kolektif Ke-20.

Pada 13 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman NUBE, membatalkan dua rujukan Menteri Sumber Manusia ke Mahkamah Perusahaan dan mengarahkan kedua-dua pihak kembali berunding.

Bagaimanapun, pada 26 September lalu, mahkamah membenarkan permohonan MCBA untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan persatuan berkenaan di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan didengar pada 22 Mac tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.