Wakaf Fun Run kutip RM651,000, disertai lebih 3,000 peserta

Foto RTM

ALOR SETAR, 7 November -Lebih 3,000 peserta menyertai program Wakaf Fun Run 2026 yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAIK berjaya mengutip RM651,000 menerusi penyertaan peserta dan tajaan untuk program Wakaf Fun Run.
  • Majlis anjuran MAIK bertemakan 'Berlari Sambil Berwakaf' sempena Car Free Saturday ASCFS 6.0, dengan tiga kategori larian.
  • Kutipan ditujukan membiayai lebih 15 projek pembangunan institusi agama di Kedah; sambutan menggalakkan mendorong penganjuran berskala lebih besar.

Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, sebanyak RM651,000 berjaya dikutip menerusi penyertaan peserta dan tajaan kejohanan berkenaan.

Bertemakan “Berlari Sambil Berwakaf”, program anjuran MAIK itu diadakan bersempena Alor Setar Car Free Saturday (ASCFS) 6.0.

Wakaf Fun Run 2026 mempertandingkan tiga kategori larian, iaitu 7 kilometer, 5 kilometer dan 2.5 kilometer.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan di luar jangkaan, sekali gus mendorong pihaknya mempertimbangkan penganjuran program itu pada skala lebih besar pada masa akan datang.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha dan inisiatif dalam strategi pemasaran yang dilaksanakan bagi meningkatkan kutipan wakaf tunai untuk membiayai lebih 15 projek pembangunan institusi agama di Kedah. Program ini juga merupakan antara pendekatan yang diambil, selain strategi pemasaran lain yang sedang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Berangkat sama pada program itu ialah, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al
Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Syazuddin Arif Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Julie Ariff.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.