
KUALA LUMPUR, 6 November – Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, diisytiharkan sebagai penjara bagi tujuan pemenjaraan atau penahanan individu yang berada dalam tahanan sah di sisi undang-undang.
- Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 untuk mengisytiharkan premis sebagai penjara.
- Warta Kerajaan menerbitkan pengisytiharan yang meliputi bangunan dan tanah seluas 4,558.975 meter persegi di No. 11 Jalan Langgak Duta.
- Najib menjelaskan denda RM50 juta; pengampunan bersyarat membenarkan tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 namun AGC mengarahkan penangguhan pelaksanaan.
Pengisytiharan itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menerusi kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537].
Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh hari ini, yang diterbitkan menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut warta berkenaan, kawasan yang diisytiharkan meliputi keseluruhan bangunan serta tanah seluas 4,558.975 meter persegi di alamat No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur.
“Dengan menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537], Menteri mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan berukuran 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, 50480 Kuala Lumpur, yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai sebuah penjara bagi maksud Akta tersebut untuk pemenjaraan atau penahanan individu yang berada dalam tahanan sah di sisi undang-undang,” menurut warta tersebut.
Pengisytiharan itu berkuat kuasa pada tarikh dokumen berkenaan dimeterai, iaitu hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Najib dilaporkan telah menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Pembayaran itu merupakan salah satu syarat pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan petang tadi, memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu wajar ditangguhkan sementara bagi membolehkan penelitian lanjut serta penjelasan dibuat berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan Perintah Pelepasan.
AGC turut menjelaskan sepanjang tempoh penangguhan itu, Datuk Seri Najib perlu kekal di tempat tahanannya ketika ini, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan.