Bantuan RM10,000 untuk keluarga rakyat Malaysia hilang di Nepal

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan

KUALA LUMPUR, 6 November – Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan sekali beri sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga 54 rakyat Malaysia yang hilang susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal-Tibet pada Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat Perdana Menteri selepas mengambil kira keperluan serta kebajikan keluarga terjejas.
  • Keputusan dicapai dalam perbincangan di peringkat Jemaah Menteri.
  • Pemberian bantuan tertakluk kepada senarai penerima yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
  • Pengarah Mitra diarahkan dapatkan butiran daripada Kementerian Kewangan dan menghubungi waris untuk tandatangan dokumen.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mengambil kira keperluan serta kebajikan keluarga yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Keputusan itu dicapai dalam perbincangan di peringkat Jemaah Menteri, hari ini.

“Bagaimanapun, pemberian bantuan berkenaan adalah tertakluk kepada senarai penerima yang telah dikenal pasti dan disenaraikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Susunan penerima adalah berdasarkan kategori waris, iaitu suami atau isteri, diikuti ibu bapa dan anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke reruai serta menyantuni peniaga pada Karnival Deepavali 2026 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) K. Raveendran Nair untuk mendapatkan butiran terperinci daripada Kementerian Kewangan serta menghubungi waris mangsa dalam masa terdekat.

Waris yang dikenal pasti juga akan dipanggil untuk menandatangani dokumen berkaitan sebelum bantuan disalurkan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Ramanan menyambut baik penganjuran Karnival Deepavali 2026 yang memasuki edisi ke-24 tahun ini.

Beliau turut menyuarakan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran karnival berkenaan yang bukan sahaja memeriahkan sambutan Deepavali, malah menyediakan platform perniagaan kepada hampir 700 peniaga.

Bagi menyokong kelangsungan penganjuran karnival itu serta memperkasa perkembangan perniagaan peniaga yang terlibat pada masa hadapan, kementerian bersedia meneliti bentuk bantuan bersesuaian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.