PBT diarah tutup premis sembelihan ayam tidak berlesen

Serbuan gudang di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, dilaksanakan menerusi Op Taring Chiller, Jumaat lalu membawa kepada penahanan 12 warga asing dan 6,555 kilogram ayam dirampas./ RTM

SHAH ALAM, 6 November – Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor diarahkan mengambil tindakan penguatkuasaan serta-merta terhadap premis sembelihan ayam yang beroperasi tanpa lesen dan tidak mempunyai penyembelih bertauliah, termasuk menutup premis terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBT diarahkan ambil tindakan penguatkuasaan serta-merta, tutup premis sembelihan ayam tanpa lesen dan lakukan perobohan jika perlu.
  • Umat Islam dinasihatkan membeli ayam hanya daripada premis dengan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sah (SPHM) JAKIM.
  • Orang ramai diseru melaporkan premis sembelihan mencurigakan kepada PBT atau JAIS; Kerajaan Negeri pastikan bekalan ayam halal berterusan dan berpatutan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini bagi memastikan tiada bekalan ayam mentah yang tidak halal memasuki pasaran di negeri itu.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk penutupan premis dan, jika bersesuaian, perobohan sepenuhnya.

“Dalam pada itu, umat Islam di Selangor dinasihatkan membeli ayam mentah atau ayam yang telah dimasak hanya daripada premis yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak senarai premis yang memiliki SPHM sah menerusi portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Selain itu, orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada PBT atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya mengesan premis sembelihan ayam yang disyaki beroperasi tanpa lesen untuk tindakan lanjut.

Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan ayam halal dapat dibekalkan secara berterusan pada harga berpatutan kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.