
ISTANBUL, 6 September – Malaysia dan Turkiye berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik, termasuk pertukaran pelajar serta tenaga akademik, selain meneroka peluang penyelidikan strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
- Perkukuh kerjasama institusi pengajian tinggi dan TVET, menggunakan rangkaian 270 institusi MARA untuk memperluas jaringan pendidikan dengan Turkiye.
- Hantar pensyarah dan pakar untuk latihan pengajar, jalankan pertukaran pensyarah dan pelajar serta berkongsi hasil penyelidikan.
- Perluaskan kerjasama kepada pembangunan industri pertahanan melalui pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran bagi membangunkan keupayaan tempatan.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YÖK), Profesor Dr. Erol Özvar di Istanbul.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, kerjasama sedia ada antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara perlu diperkukuh, khususnya dalam bidang latihan teknikal dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, Malaysia boleh memanfaatkan rangkaian 270 institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan di Turkiye.
Beliau turut menyatakan hasrat menghantar pensyarah dan pakar tempatan ke negara itu bagi melaksanakan program latihan untuk tenaga pengajar, selain membuka peluang pertukaran pensyarah dan pelajar serta perkongsian hasil penyelidikan.
“Institusi TVET sebanyak 270 di bawah MARA sendiri, bersama-sama dengan institusi pendidikan yang lain, adalah satu saluran yang pada hemat saya harus dipertingkatkan jalinan kerjasama ini.
“Bukan itu sahaja, kita juga berhasrat untuk menghantar pensyarah-pensyarah kita dan juga beberapa pakar supaya training for trainers dapat dilakukan, pertukaran pensyarah, pertukaran pelajar dan juga berkongsi beberapa dapatan baharu,” katanya.
Sementara itu, Erol Özvar berkata, potensi universiti berkualiti di Malaysia dan Turkiye perlu dimanfaatkan menerusi pembentukan jaringan kerjasama yang lebih tersusun.
Beliau berkata, usaha itu termasuk merancakkan kerjasama penyelidikan serta mobiliti pelajar dan ahli akademik antara kedua-dua negara.
“Di Malaysia, kita mengetahui terdapat beberapa universiti yang dikenali di peringkat global. Begitu juga di Turkiye, yang mempunyai universiti berkualiti.
“Justeru, kita berusaha membina jaringan baharu bagi membolehkan universiti-universiti berkualiti ini berinteraksi, selain merangsang mobiliti pelajar dan ahli akademik antara kedua-dua negara,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, kerjasama berkenaan turut berpotensi diperluas kepada pembangunan industri pertahanan negara, khususnya menerusi pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran.
Menurutnya, usaha itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara luar dalam aspek perolehan dan penambahbaikan aset pertahanan, selain membangunkan keupayaan serta kepakaran tempatan.
Beliau berkata, kerjasama antara institusi pengajian tinggi, institusi teknikal dan pihak industri kedua-dua negara boleh menjadi pemangkin kepada usaha berkenaan.
Katanya, pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan perlu diberi perhatian bagi membolehkan Malaysia membangunkan keupayaan sendiri dalam sektor pertahanan.
Pertemuan itu sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan hubungan akademik dan penyelidikan Malaysia-Turkiye, merangkumi pembangunan modal insan, penguasaan teknologi serta kepakaran dalam bidang strategik.
Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menunaikan solat Jumaat di Masjid Dolmabahçe, Istanbul, hari ini. Beliau tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 12.45 tengah hari waktu tempatan bagi mengikuti khutbah dan solat Jumaat.
Masjid Dolmabahçe yang terletak berhampiran Selat Bosphorus merupakan antara masjid bersejarah di Istanbul dan menjadi sebahagian daripada warisan seni bina era Empayar Uthmaniyyah.
Selesai menunaikan solat Jumaat, Timbalan Perdana Menteri dijadual meneruskan agenda lawatan kerja dengan menghadiri majlis pembukaan TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Centre.