Jepun lancar pakej kecemasan, hadapi serangan siber

Foto AFP

TOKYO, 7 November– Jepun melancarkan pakej kecemasan bernilai jutaan Dolar bagi menangani peningkatan mendadak insiden penggodaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Sanae Takaichi berikrar ambil tindakan susulan laporan puluhan syarikat mengalami pencerobohan dan kemungkinan kebocoran data pelanggan.
  • Kemampuan kecerdasan buatan membantu pencarian kaedah pencerobohan baru menjadikan serangan siber isu keselamatan berskala global.
  • Kerajaan memperuntuk awal 10 bilion yen bagi pelaksanaan langkah tindak balas, dengan kos keseluruhan dijangka lebih tinggi.
  • Pakej merangkumi pengukuhan keselamatan siber, penggunaan AI, peningkatan penyiasatan, bantuan mangsa dan penubuhan pasukan penyelamat siber.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berikrar mengambil tindakan, susulan laporan puluhan syarikat mengenai pencerobohan sistem tanpa kebenaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk kemungkinan kebocoran data pelanggan.

Insiden penggodaman dan kebocoran data semakin meningkat di seluruh dunia, dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) mengenal pasti kaedah baharu untuk menceroboh sistem komputer kini menjadi perhatian global.

“Memandangkan situasi semasa yang menyaksikan serangan siber semakin serius, semua menteri berbincang bagi merangka satu pakej langkah tindak balas kecemasan,” kata Takaichi.

Dilaporkan, pakej itu akan menerima peruntukan awal sebanyak 10 bilion yen atau kira-kira AS$63 juta daripada belanjawan kerajaan.

Bagaimanapun, kos keseluruhan dijangka lebih tinggi dan Takaichi meminta Menteri Kewangan mengenal pasti sumber pembiayaan tambahan bagi melaksanakan keseluruhan pelan berkenaan.

Jelasnya, pakej itu merangkumi langkah memperkukuh keselamatan siber, termasuk penggunaan teknologi AI, meningkatkan keupayaan penyiasatan, memperluas bantuan kepada mangsa serta mencegah penularan kesan serangan.

Laporan media tempatan turut menyatakan pakej itu turut merangkumi penubuhan sebuah “pasukan penyelamat siber” yang menghimpunkan pakar daripada sektor kerajaan dan swasta.-AFP.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.