
KEMAMAN, 6 November – Sebanyak 56 motosikal pelbagai jenis disita manakala 248 notis saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu yang dijalankan di sekitar Bandar Chukai, malam tadi.
- 80 motosikal diperiksa melibatkan 150 individu, termasuk penunggang dan pembonceng.
- Kesalahan termasuk pengubahsuaian ekzos dan struktur, aksesori tidak mengikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.
- Kesalahan lain: tiada lesen memandu dan LKM, langgar lampu isyarat, gagal patuhi arahan lalu lintas.
- Operasi malam hingga 7 pagi dilaksanakan BSPT IPD Kemaman bersama JSPT IPK Terengganu melibatkan 44 pegawai, fokus Kilometer 2 Jalan Chukai Air Putih.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, sebanyak 80 motosikal diperiksa membabitkan 150 individu, termasuk penunggang dan pembonceng.
“Antara kesalahan yang dikesan melibatkan pengubahsuaian spesifikasi motosikal, termasuk ekzos dan aksesori, pengubahsuaian struktur kenderaan, tiada nombor pendaftaran serta tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dan tiada cermin sisi,” katanya.
Selain itu, kesalahan penunggang turut melibatkan tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM), melanggar lampu isyarat serta gagal mematuhi arahan lalu lintas.
Menurut Mohd Razi, kesalahan tertinggi direkodkan ialah gagal mematuhi arahan isyarat trafik dengan 49 kes, diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (23), tiada cermin sisi (21) dan tiada lesen memandu (20).
Operasi bermula tengah malam dan berakhir pada 7 pagi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
Katanya, ia membabitkan 44 pegawai dan anggota dengan tumpuan di Kilometer 2, Jalan Chukai–Air Putih yang menjadi laluan pengguna jalan raya menuju ke Bandar Chukai.
Beliau berkata, tindakan sitaan dan pengeluaran saman itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.