Presiden Paraguay letak jawatan susulan krisis perbankan

Foto AFP

ASUNCION, 6 November – Presiden Paraguay, Santiago Pena, meletak jawatan pada Khamis susulan krisis perbankan yang menyebabkan hampir separuh penduduk negara itu gagal mengakses wang simpanan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bank Pusat mengambil alih Ueno Bank, membekukan deposit kira-kira tiga juta pelanggan termasuk pesara.
  • Bantahan negara berlaku, ratusan penunjuk perasaan bertempur dengan polis; gas pemedih mata dan meriam air digunakan.
  • Ahli Parlimen meluluskan prosiding pemecatan terhadap Pena; Naib Presiden Pedro Alliana dijangka mengambil alih kepimpinan.

Krisis tercetus selepas Bank Pusat Paraguay mengambil alih Ueno Bank, dua hari lalu, sekali gus membekukan deposit kira-kira tiga juta pelanggan termasuk pesara.

Tindakan itu mencetuskan bantahan di seluruh negara, termasuk di ibu negara Asuncion, apabila ratusan penunjuk perasaan mendesak Pena dipecat selain bertempur dengan pihak polis yang menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan kumpulan berkenaan.

Ahli Parlimen pembangkang pada Rabu turut mengemukakan usul pemecatan terhadap Pena berhubung krisis itu, dengan mendakwa berlaku salah laku serta konflik kepentingan dalam urusannya dengan bank berkenaan.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di platform X bagi mengumumkan peletakan jawatannya, Pena memohon maaf kepada rakyat sekiranya beliau gagal melaksanakan amanah yang diberikan.

Beliau turut menegaskan keutamaan ketika ini adalah memastikan ketenangan rakyat Paraguay yang mempercayakan simpanan mereka kepada sistem kewangan negara.

Beberapa minit selepas pengumuman itu, Ahli Parlimen termasuk daripada parti pemerintah sebulat suara meluluskan usul memulakan prosiding pemecatan terhadap Pena, namun menolak usul sama terhadap Naib Presiden Pedro Alliana.

Sementara itu, Bank Pusat Paraguay menjelaskan pengambilalihan Ueno Bank dibuat susulan kekurangan modal yang serius bagi melindungi pendeposit serta mengekalkan kestabilan sistem kewangan.

Krisis itu turut menjejaskan kehidupan orang ramai apabila seorang ibu kepada tiga anak, Nadia Gonzalez, 26, mendakwa pinjaman yang diluluskan bank berkenaan untuk membeli rumah pertama keluarganya tidak pernah disalurkan.

Kongres dijadual mengadakan sidang khas pada Khamis bagi memutuskan sama ada menerima peletakan jawatan Pena atau meneruskan proses pemecatan.

Pakar perlembagaan, Alcibiades Gonzalez Delvalle, berkata keputusan itu turut melibatkan isu kekebalan undang-undang presiden ketika prosiding pemecatan sedang berjalan.

Sekiranya peletakan jawatan diterima, Pena masih mengekalkan kekebalan tersebut, manakala sabitan dalam perbicaraan pemecatan akan menyebabkan beliau kehilangan kekebalan berkenaan.

Naib Presiden Pedro Alliana dijangka mengambil alih kepimpinan negara Amerika Selatan itu.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.