
SAO PAULO, 6 November – Juara dunia dua kali, Fernando Alonso menyambut pencapaian Lewis Hamilton yang bakal menyertai kelompok eksklusif pelumba Formula Satu (F1) dengan 400 penyertaan Grand Prix pada hujung minggu ini.
- Alonso akan membuat penampilan ke-430 di Grand Prix Sao Paulo; Hamilton menjadi pelumba kedua mencapai 400 perlumbaan.
- Alonso memuji kerjaya luar biasa Hamilton dan mengucapkan tahniah, berharap dia menikmati perlumbaan serta hujung minggu.
- Hamilton mewakili McLaren (110 penampilan, 21 kemenangan), Mercedes (246 penampilan, 84 kemenangan, enam gelaran), Ferrari (43 penampilan, satu kemenangan).
Di Grand Prix Sao Paulo, Alonso, 45, bakal membuat penampilan ke-430 dalam kariernya, manakala Hamilton, 41, akan menjadi pelumba kedua dalam sejarah yang mencapai 400 penyertaan perlumbaan.
“Lewis sudah melalui karier yang luar biasa dalam Formula Satu dan kesemua 400 perlumbaannya berlangsung dalam kedudukan yang sangat kompetitif.
“Tahniah kepadanya dan saya berharap dia menikmati perlumbaan serta hujung minggu yang baik,” kata Alonso.
Menurut Alonso, semakin ramai pelumba dijangka menyertai kelompok itu berikutan kalendar perlumbaan F1 yang semakin panjang.
Sepanjang kariernya, Hamilton pernah mewakili tiga pasukan iaitu McLaren, Mercedes dan Ferrari.
Bersama McLaren, beliau membuat 110 penampilan perlumbaan, meraih 21 kemenangan serta gelaran juara dunia pertamanya pada 2008.
Ketika bersama Mercedes, Hamilton mencatat 246 penampilan dengan 84 kemenangan dan enam lagi gelaran dunia, manakala bersama Ferrari, beliau telah membuat 43 penampilan dengan satu kemenangan.
Hamilton sebelum ini turut membayangkan hasrat untuk meneruskan karier sehingga pertengahan usia 40-an bagi merealisasikan impiannya beraksi dalam Grand Prix Afrika.-AFP