Kozo Tashima bakal cabar Infantino bagi jawatan Presiden FIFA

Kozo Tashima / Foto AFP

TOKYO, 6 November – Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kozo Tashima mengumumkan hasrat bertanding jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Mac 2027, sekali gus bakal menjadi calon pertama dari Jepun merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak dunia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menuntut pengukuhan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran bola sepak antarabangsa, menentang pengaruh kepentingan perniagaan dan kewangan.
  • Mempertikaikan keputusan FIFA termasuk pembatalan penggantungan Folarin Balogun dan sekatan perjalanan ke atas pasukan Iran semasa Piala Dunia.
  • Berasaskan pengalaman luas dalam JFA dan AFC, beliau mahu berkongsi nilai integriti bola sepak Jepun dengan komuniti antarabangsa.

Tashima, 68 tahun, akan mencabar penyandang jawatan berkenaan, Gianni Infantino dengan membawa agenda memperkukuh integriti dan ketelusan dalam pentadbiran bola sepak antarabangsa.

Menurutnya, keputusan bertanding dibuat atas keyakinan bahawa nilai integriti sukan perlu terus dipertahankan ketika kepentingan perniagaan dan kewangan semakin mempengaruhi landskap bola sepak dunia.

“Perkara paling buruk ialah jika beliau (Infantino) terus memegang jawatan tanpa melalui proses pemilihan.

“Saya merasakan ini merupakan ujian terhadap keupayaan FIFA untuk membersihkan dirinya sendiri,” katanya selepas mengumumkan pencalonan itu.

Tashima yang mendapat sokongan JFA turut mempersoalkan beberapa keputusan FIFA, termasuk tindakan membatalkan penggantungan terhadap pemain Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun susulan campur tangan Presiden Donald Trump.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan terhadap sekatan perjalanan dikenakan pihak berkuasa AS ke atas pasukan kebangsaan Iran semasa Piala Dunia tahun ini.

Tashima mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan dan pentadbiran bola sepak selepas berkhidmat sebagai pemain kebangsaan Jepun, jurulatih serta pegawai kanan JFA.

Beliau pernah mengikuti pengajian kejurulatihan di Jerman sebelum kembali ke Jepun untuk membangunkan program bola sepak akar umbi dan membimbing beberapa skuad remaja kebangsaan.

Tashima kemudian dilantik sebagai Presiden JFA pada 2016 dan memegang jawatan itu sehingga 2024, selain pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Majlis FIFA.

Sepanjang pentadbirannya, beliau turut mengambil keputusan menggugurkan jurulatih Jepun, Vahid Halilhodzic dua bulan sebelum Piala Dunia 2018, sebelum pasukan itu mara ke pusingan 16 terbaik di bawah kendalian Akira Nishino.

Mengulas pencalonannya, Tashima menegaskan matlamat utama beliau bukan semata-mata untuk memenangi pemilihan, sebaliknya mengetengahkan nilai yang telah dibangunkan dalam bola sepak Jepun.

“Apa yang penting ialah berkongsi dengan dunia integriti yang telah dibina oleh bola sepak Jepun selama ini,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.