
HAVANA, 6 November – Pihak berkuasa Cuba menahan wartawan bebas terkenal, Yoani Sanchez, pada Khamis ketika beliau keluar dari kediamannya di kawasan Nuevo Vedado, Havana, untuk membeli-belah.
- Ditahan oleh polis politik, menurut 14ymedio.
- Sanchez sempat memaklumkan rakan melalui pesanan ringkas sebelum tidak dapat dihubungi; 14ymedio menyifatkan penahanan sebagai penculikan.
- Wartawan bebas sering berdepan gangguan pihak polis ketika menjalankan tugas kewartawanan.
- Undang-undang 2023 hanya mengiktiraf media kerajaan; portal bebas guna VPN. Beberapa penyumbang ditahan dan kemudian dibebaskan dengan denda atau amaran.
Akhbar digital 14ymedio yang diasaskan dan diketuai Sanchez melaporkan, wartawan berusia 51 tahun itu ditahan oleh polis politik.
Menurut laporan itu, Sanchez sempat memaklumkan rakan sekerjanya mengenai penahanan berkenaan menerusi pesanan ringkas sebelum gagal dihubungi sehingga kini.
14ymedio turut menyifatkan tindakan itu sebagai penculikan dan memaklumkan tiada perkembangan lanjut mengenai keberadaan beliau.
Sanchez pernah menerima Anugerah Ortega y Gasset pada 2008, antara pengiktirafan berprestij dalam bidang kewartawanan berbahasa Sepanyol.
Pada tahun sama, majalah TIME menyenaraikan beliau antara 100 individu paling berpengaruh di dunia.
Seperti wartawan bebas lain di Cuba, Sanchez dilaporkan sering berdepan gangguan pihak polis ketika menjalankan tugas kewartawanan.
Undang-undang yang diperkenalkan pada 2023 hanya mengiktiraf organisasi media milik kerajaan, namun beberapa portal berita bebas terus beroperasi sejak sedekad lalu.
Bagaimanapun, penduduk di negara itu hanya boleh mengakses portal berkenaan menerusi rangkaian persendirian maya (VPN).
Menurut 14ymedio, beberapa penyumbang kepada media pembangkang turut ditahan pihak berkuasa sejak beberapa minggu kebelakangan ini sebelum dibebaskan dengan dikenakan denda atau diberikan amaran.-AFP