
PUNCAK ALAM, 5 November – Hujan lebat selama hampir tiga jam telah menyebabkan kejadian banjir kilat dan limpahan air di beberapa kawasan di sekitar Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
- Tinjauan rektor mendapati rasuk konkrit longkang pecah akibat kadar aliran air sangat tinggi, menyebabkan limpahan ke kawasan berdekatan.
- Aliran air kembali lancar, limpahan surut sepenuhnya dan semua 16 kolam tadahan dalam kampus berfungsi optimum.
- Pihak pengurusan dalam kesiapsiagaan penuh; kerja pembaikan struktur akan dilaksanakan segera dan keadaan pelajar dilaporkan selamat.
Susulan insiden berkenaan, Rektor UiTM Cawangan Selangor Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman telah melakukan tinjauan di kawasan yang terjejas bagi menilai sejauh mana kerosakan serta mengenal pasti punca utama kejadian.
Kenyataan Unit Komunikasi Korporat universiti berkenaan berkata hasil tinjauan mendapati kadar aliran air yang amat tinggi akibat hujan berterusan telah menyebabkan rasuk konkrit pada struktur longkang pecah, sekali gus mengakibatkan air melimpah ke kawasan berhampiran.
“Bagaimanapun, limpahan air tersebut telah surut sepenuhnya berikutan aliran air yang kembali lancar menerusi sistem perparitan kampus.
“Pemeriksaan turut mengesahkan kesemua 16 kolam tadahan air di dalam kampus berada dalam keadaan baik serta berfungsi secara optimum,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurutnya, keadaan di keseluruhan kawasan kampus kini telah kembali pulih seperti sediakala, manakala keadaan pelajar di kolej kediaman dilaporkan selamat dan terkawal.
Pihak pengurusan UiTM Cawangan Selangor menegaskan mereka berada dalam kesiapsiagaan penuh dan akan melaksanakan kerja pembaikan struktur dengan kadar segera demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan seluruh warga kampus.