
MARANG, 5 November – Liputan internet 4G di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), termasuk kawasan terowong, akan dipertingkat menerusi kerjasama Malaysia Rail Link (MRL), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
- Ujian kelajuan MCMC mengesan beberapa lokasi sepanjang jajaran dari Gombak ke Kota Bharu, termasuk 16 stesen, mengalami liputan internet tiada atau kurang memuaskan.
- Maxis dilantik untuk menaik taraf infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan liputan internet 4G lebih baik sepanjang jajaran ECRL.
- Perkhidmatan ECRL dijadual mula operasi 12 Disember, membawa sehingga 425 penumpang setiap perjalanan dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, hasil ujian kelajuan yang dijalankan MCMC mendapati masih terdapat beberapa lokasi sepanjang laluan dari Gombak ke Kota Bharu, termasuk di 16 stesen ECRL, yang mengalami masalah liputan internet.
Beliau berkata, terdapat kawasan yang langsung tidak mempunyai liputan, manakala sebahagian lokasi lain pula mencatatkan tahap liputan yang kurang memuaskan.
“Daripada ujian kelajuan yang dijalankan, kita mendapati masih terdapat lokasi yang tiada liputan langsung, selain kawasan yang mempunyai liputan tetapi tidak begitu memuaskan.
“Jadi, MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan juga MRL bagi memastikan liputan internet 4G yang munasabah dapat disediakan kepada semua penumpang,” katanya.
Dalam pada itu, Teo berkata, syarikat telekomunikasi Maxis telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur telekomunikasi bagi memastikan liputan internet lebih baik dapat disediakan sepanjang jajaran berkenaan.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Terengganu dengan menaiki perkhidmatan ECRL dari Gombak ke Kuala Terengganu.
Perkhidmatan ECRL yang dijadual memulakan operasi rasmi pada 12 Disember ini mampu membawa sehingga 425 penumpang bagi setiap perjalanan, dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam.