
KUALA LUMPUR, 5 November – Kerja penuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencapai 93.3 peratus setakat ini, dengan anggaran awal hasil bagi musim pertama 2026 meningkat berbanding tahun lalu.
- Hasil musim pertama dianggarkan 4.89 tan sehektar, meningkat berbanding musim pertama 2025.
- Tiada angka rasmi kerugian; KPKM dan MADA sedang menilai kerugian sebelum menentukan intervensi sesuai.
- Kerajaan akan memperkukuh Program SMART Sawah Berskala Besar untuk tingkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah.
- Program SMART SBB kini melibatkan 25 syarikat peneraju, 23,441 pesawah, 45 lokasi dan 53,700 hektar, purata hasil 4.5 tan sehektar.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin berkata, hasil padi bagi musim pertama tahun ini dianggarkan sebanyak 4.89 tan sehektar berbanding 4.69 tan sehektar pada musim pertama 2025.
Setakat ini, belum ada angka rasmi berhubung jumlah kerugian yang dilaporkan.
“Namun demikian, KPKM melalui MADA masih dalam peringkat perbincangan lanjut bagi menilai kerugian.
“Langkah intervensi yang bersesuaian akan ditentukan dan dilaksanakan apabila penilaian selesai serta semua aspek berkaitan diambil kira,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memperkukuh dan memperkasakan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sebagai pendekatan meningkatkan produktiviti padi serta pendapatan pesawah menerusi pengurusan sawah yang lebih sistematik.
Program itu telah berkembang daripada penyertaan dua syarikat dalam projek rintis kepada 25 syarikat peneraju dan masih terus dilaksanakan sehingga kini, melibatkan 23,441 pesawah di 45 lokasi membabitkan keluasan keseluruhan 53,700 hektar.
Dari segi prestasi pelaksanaan, purata hasil yang dicatatkan adalah sekitar 4.5 tan metrik sehektar setakat Ogos lalu.