KSN ingatkan jabatan kerajaan perkukuh keselamatan siber, semak BCP

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar RSTU: Pengajaran daripada Kes Mahkamah, hari ini./ BERNAMA

KLANG, 5 November – Semua ketua jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri diingatkan supaya memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan, termasuk meningkatkan pertahanan siber serta menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh pertahanan siber dan tingkatkan kesedaran serta amalan keselamatan siber dalam kalangan penjawat awam untuk menghindari eksploitasi.
  • Pastikan kelangsungan fungsi kerajaan sekiranya berlaku krisis atau gangguan terhadap infrastruktur dan perkhidmatan kritikal negara.
  • Susun langkah bersepadu melalui penyelarasan KSU dan Ketua Perkhidmatan, serta belajar daripada negara lain tentang kesiapsiagaan asas.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelangsungan fungsi kerajaan sekiranya berlaku krisis atau gangguan terhadap infrastruktur dan perkhidmatan kritikal negara.

Beliau berkata, tahap kesedaran dan amalan keselamatan siber dalam kalangan penjawat awam juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kelemahan sistem dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Penyerang siber (cyber attacker) ini akan menyerang apabila mereka tahu kita mengambil mudah aspek keselamatan siber.

“Saya berharap ketua-ketua jabatan mempunyai tahap celik keselamatan siber yang tinggi, menyemak semula BCP dan mengekalkan disiplin tegas dalam mengendalikan dokumen-dokumen rasmi tanpa sebarang kompromi,” katanya ketika berucap pada Majlis Seminar Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor di sini, hari ini.

Peringatan itu menyusuli arahan beliau pada Selasa lalu supaya semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Perkhidmatan menyelaras langkah kesiapsiagaan kerajaan, termasuk menyemak semula BCP kementerian dan agensi masing-masing susulan ketidaktentuan keselamatan global.

Mengulas lanjut, Tan Sri Shamsul Azri berkata, beberapa negara Eropah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah menasihatkan rakyat masing-masing supaya menyediakan bekalan makanan, minuman dan keperluan asas mencukupi untuk tempoh tiga hingga tujuh hari sebagai persediaan menghadapi kemungkinan krisis.

Katanya, negara di rantau Asia termasuk Jepun, Korea Selatan dan Thailand turut mengambil langkah berjaga-jaga, sekali gus menunjukkan kepentingan kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.

Dalam pada itu, beliau menjunjung titah Raja Muda Selangor yang mengingatkan pentadbiran kerajaan negeri supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi insiden luar jangka, termasuk ancaman sabotaj terhadap bekalan tenaga, air, sistem keselamatan dan infrastruktur digital.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.