3,681 pendaftaran francais direkodkan, 62.2 peratus francaisor tempatan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika sidang media pelancaran Soda Prebiotik Teh Kraf Berkarbonat Tealive hari ini./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November – Sebanyak 3,681 pendaftaran francais direkodkan di seluruh negara menerusi sistem MyFEX 2.0 setakat 27 Oktober lepas, dengan 62.2 peratus daripada keseluruhan francaisor dan francaisor induk merupakan jenama tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan kepada memperkukuh kemampanan dan daya saing francais tempatan serta kemampuan menembusi pasaran antarabangsa.
  • Kerajaan peruntuk RM29 juta dalam Belanjawan 2027 untuk memperkukuh ekosistem francais, termasuk RM20 juta PSFS dan RM9 juta BYOB.
  • PSFS menyediakan modal permulaan, modal kerja, pengubahsuaian, peralatan dan stok awal; BYOB menyasarkan wanita dan belia Bumiputera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada 489 pendaftaran francaisor dan francaisor induk, sebanyak 304 adalah francaisor tempatan, manakala 3,192 lagi merupakan pendaftaran francaisi.

“Tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh kemampanan dan daya saing jenama francais tempatan, termasuk keupayaan menembusi pasaran antarabangsa.

“Jadi maksudnya keberadaan penyertaan francais tempatan itu sudah ada. Jadi kita perlu perkukuh lagi, yang paling penting adalah kemampanan mereka dan daya saing dalam pasaran, bukan hanya pasaran tempatan tetapi keupayaan untuk menerobos pasaran luar negara.

“Kita berharap dengan kebersamaan semua pihak, khususnya kesungguhan di pihak francais itu sendiri akan dapat, pertama, memperkukuhkan ekosistem francais yang ada dalam negara, membangunkan industri francais negara, dan pastinya akhirnya akan membantu pulangan kepada usaha untuk meningkatkan ekonomi negara dan juga ekonomi rakyat,” katanya.

Bagi menyokong usaha itu, kerajaan memperuntukkan RM29 juta menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkukuh ekosistem francais negara, khususnya dalam meningkatkan kapasiti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membangunkan jenama francais tempatan.

Daripada jumlah itu, RM20 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan PERNAS SME & Franchisor Financing Scheme (PSFS), manakala RM9 juta lagi bagi program Be Your Own Boss (BYOB).

Datuk Armizan berkata, pembiayaan PSFS merangkumi modal permulaan dan modal kerja bagi menyokong pembukaan cawangan, pengubahsuaian premis, pembelian peralatan serta penyediaan stok awal.

Sementara itu, program BYOB menyasarkan golongan wanita dan belia Bumiputera menerusi latihan berstruktur, padanan perniagaan, bantuan pembiayaan serta pemantauan selama enam bulan selepas memulakan perniagaan.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan terus mempergiat pembangunan kapasiti francais tempatan bagi memastikan jenama yang dibangunkan bukan sahaja mampu berkembang, malah mempunyai model perniagaan dan sistem operasi yang kukuh serta mampan.

Beliau berkata, perkembangan positif industri francais turut perlu disokong melalui usaha memperluas pasaran produk tempatan menerusi gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemain industri.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan produk terbaharu Tealive Sparkling Prebiotic Tea Soda di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata kejayaan Tealive yang kini mempunyai 800 cawangan di Malaysia dan 82 cawangan francais di sembilan negara setakat Oktober 2026 membuktikan potensi jenama tempatan untuk berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.